‘Pandemik Politiking’ untuk berkuasa semua menular dalam PH – Hadi

0
1

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa ‘wabak politiking’ iaitu kegilaan untuk berkuasa semula masih menular dalam Pakatan Harapan (PH) sehingga tidak mempedulikan pandemik Covid-19 yang mengancam nyawa rakyat.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku selepas usaha PH menumbangkan kerajaan dengan meniru langkah Perikatan Nasional (PN) mengambil akuan sumpah (SD) Ahli Parlimen selain mengemukakan usul undi tidak percaya gagal.

“Di samping berusaha menubuhkan jajaran baharu, sehinggalah terkini mengheret semua pihak berpolitiking. Raja-Raja Melayu sepatutnya tidak diheret berpolitiking kerana Baginda masih banyak tugas-tugas yang lebih penting daripada melayan kehendak mereka yang berpenyakit politiking itu.

“Ada pula mereka yang masih tidak sedar dirinya sudah jadi pembangkang dan bukan lagi kerajaan, dengan berlagak membuat kenyataan seolah-olah masih berada di atas takhta,” katanya dalam hantaran Facebook Minda Presiden PAS, hari ini.

Abdul Hadi berkata, sepatutnya penumpuan semua pihak kini adalah terhadap usaha menangani Covid-19 dan menjaga nyawa rakyat keseluluruhannya .

“Kedua-dua pandemik tersebut menyusahkan rakyat. Sepatutnya pandemik Covid-19 ditangani dengan penuh penumpuan oleh semua pihak bagi menjaga nyawa seluruh rakyat yang tidak boleh ditangguhkan lagi.

“Bahkan wajib bertolong-menolong kerana wabak ini tidak mengenal siapa, tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik,” katanya.

Abdul Hadi berkata, sepatutnya segala hal politik boleh ditangguhkan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selain mengingatkan rakyat supaya tidak mudah ditipu untuk berulang kali.

Katanya, di Malaysia wabak politiking yang dialami agak berbeza, tetapi virusnya merebak dengan sangat meluas.

“Ia bermula apabila kerajaan PH yang memenangi pilihan raya dengan janji dan manifesto yang sebahagian besarnya adalah bohong dan menipu.

“Mereka juga mendapat dukungan media sosial upahan tanpa sempadan yang menyebarkan pelbagai penipuan, berita palsu dan sebagainya.

“Sehingga mereka berjaya mencapai kemenangan dan menubuhkan sebuah kerajaan yang membawa pendekatan liberal yang tidak sesuai dengan masyarakat negara ini,” katanya.

Abdul Hadi berkata, kemuncaknya mereka berani mencabar kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan dan kedudukan Raja-Raja juga dicaabar.

Katanya, komunis yang ganas dan lebih daripada penjajah pula disanjung oleh mereka, selain kalangan LGBT dan seumpamanya mula bebas menuntut hak serta ada pula kelompok dalam kerajaan PH yang mendukungnya.

“Akhirnya, kerajaan PH tumbang secara demokrasi apabila adanya keinsafan dalam kalangan sebahagian Ahli Parlimen yang kembali ke pangkal jalan bagi menyelamatkan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here