MITI pantau premis perniagaan 24 jam – Azmin Ali

0
1

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sentiasa memantau premis-premis perniagaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata bagi yang belum mengetahui, MITI telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Covid-19 MITI untuk melakukan pemantauan 24 jam.

Beliau berkata, pemantauan itu juga turut dijalankan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain yang bertujuan menjamin keselamatan dan kesihatan para pekerja di sektor pembuatan.

“Di antara tempoh 1 hingga 26 Jun lalu, sebanyak 528 kilang telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 111 kilang telah dikenalpasti berada di kawasan ‘Hotspots Identification for Dynamic Engagement’ (HIDE).

“Sebanyak 83 kilang telah diberi amaran pertama, 27 kilang amaran terakhir dan satu kilang diberikan notis penutupan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan, sejak 14 Januari hingga 26 Jun lalu, MITI telah mengadakan lawatan mengejut ke atas 24,960 premis perniagaan di seluruh negara membabitkan sejumlah 2,141 (kilang) dan 22,819 (premis bukan kilang).

“Daripada jumlah itu, sejak Januari, 173 kilang dan 17 premis bukan kilang telah diarahkan tutup,” katanya.

Beliau yang kini berada di Doha, Qatar dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan selama tiga hari untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan, turut menyeru kepada orang ramai atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai ketidakpatuhan SOP kilang-kilang ini untuk menyampaikan aduan kepada pihak MITI.

“Caranya, anda boleh emelkan ke [email protected]. dengan menyertakan sekali nama dan alamat kilang, kesalahan yang dilakukan dan gambar berkaitan jika ada.

“Sebelum ini pun saya dah tegaskan bahawa MITI tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang didapati beroperasi tanpa kebenaran dan juga tidak patuh kepada SOP yang telah ditetapkan. Tindakan tegas akan diambil,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here