KERAJAAN bersetuju untuk memberikan vaksinasi kepada kanak-kanak terutama yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 susulan menghidap penyakit kronik.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Jawatankuasa Teknikal tentang vaksinasi terhadap kumpulan kanak-kanak bawah 18 tahun telah mencadangkan pemberian vaksin terhadap golongan terbabit.
Menurutnya, berdasarkan statistik setakat 4 Julai lalu sejumlah 120,335 kanak-kanak disahkan positif Covid-19 di Malaysia.
“Daripada jumlah itu umur 13 hingga 17 tahun merekodkan sebanyak 88,849 kes.
“Walaupun kanak-kanak yang dijangkiti adalah kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia,” katanya dalam sidang media mingguan perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.
Turut sama dalam sidang media itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin merangkap Menteri Penyelaras PICK.
Dr Adham berkata, golongan kanak-kanak didapati mengalami simptom yang kurang serius dan kematian di kalangan kanak-kanak akibat Covid-19 juga jarang berlaku.
Menurutnya, bagaimanapun vaksinasi bagi golongan kanak-kanak adalah penting dalam pelan mengawal pandemik Covid-19 di Malaysia.
“Terdapat juga proposal untuk memberi keutamaan pemberian vaksin kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19 di sekolah.
“Setakat ini hanya vaksin Pfizer yang di pertimbangkan untuk penggunaan terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas di Malaysia.
“Pfizer adalah vaksin pertama yang diluluskan untuk kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun pada Mei lalu,” katanya.
Menurutnya, program vaksinasi kanak-kanak adalah membabitkan golongan berisiko tinggi seperti sistem imun yang lemah, penyakit kronik membabitkan paru-paru dan jantung serta diabetis kronik.
“Kanak-kanak yang tiada masalah kesihatan kronik dan berisiko rendah dijangkiti Covid-19 mungkin akan diberikan vaksinasi tetapi pada fasa seterusnya mengambil kira keputusan kajian klinikal yang sedang dijalankan dengan menggunakan dos yang rendah vaksin Pfizer,” katanya.
Beliau berkata, perlu diingat vaksinasi golongan kanak-kanak bukan sahaja bertujuan membolehkan pembukaan sekolah kerana akademik tetapi bagi kesihatan mental dan psikologi kanak-kanak.
“Fokus juga perlu diberikan kepada vaksinasi isi rumah, pengasuh, guru dan kontak rapat yang lain seperti pemandu bas sekolah dan sebagainya.
“Langkah selain perubatan juga perlu menjadi strategi dalam melindungi kanak-kanak sekaligus membendung kluster sekolah,” katanya. – Malaysiapost

