SEORANG guru tadika mempunyai cara yang kreatif untuk menarik perhatian anak muridnya terus ‘melekat’ mengikuti sesi pembelajaran secara maya.
Guru tadika itu, Farhan Asyraf A Molok telah berkongsi menerusi aplikasi TikTok yang memaparkan aksinya mengajar murid-murid tadika secara maya dengan memakai kostum adiwira Spiderman.
“Bahasa Arab bersama Cikgu Spiderman,” tulisnya menerusi keterangan video yang menunjukkan dia menyebut nombor satu hingga 10 dalam bahasa Arab.
Sebelum ini Farhan pernah memuat naik video menerusi aplikasi TikTok dengan beberapa aksi lompatan seperti Spiderman di rumah.
Namun kelibatnya kali ini yang memakai kostum lengkap Spiderman nyata telah memberi kejutan kepada murid-muridnya yang berusia antara 4 hingga 6 tahun.
“Sekarang ni kelas online sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya cuba kaedah lain untuk memastikan murid-murid saya memberi tumpuan ketika kelas online.
“Memang mencabar untuk mengajar anak-anak kecil dalam norma baharu ini. Mereka ni beri tumpuan sekejap sahaja, selepas lima hingga 10 minit, mereka susah nak fokus. Macam-macam kerenah, mereka tak duduk diam nak ke sana ke sini,” katanya di ruangan komen menjawab soalan netizen.
Tinjauan di ruangan komen, rata-rata memuji usaha Farhan itu kerana berjaya membuatkan murid-murid tadika itu ‘menikmati’ sesi pembelajaran sehingga kelas online berakhir.
“Selain dapat belajar, mereka juga terhibur dengan gelagat cikgu mereka,” komen salah seorang netizen. – Malaysiapost

