TIDAK ada mana-mana pihak termasuk Majlis Tertinggi (MT) boleh menolak keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) iaitu parti menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan dan ‘No Anwar, No DAP’.
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ini bermakna Ahli-Ahli Parlimen Umno akan berpegang kepada arahan itu dan terus berada dalam kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.
“Tidak boleh mana-mana pihak termasuk MT untuk ‘overruled’ keputusan PAU. Sekiranya hendak dipinda keputusan PAU, maka hendaklah dipinda oleh PAU, bukan MT.
“Walaupun dalam ucapan PAU ada beberapa peristiwa berlaku di mana perwakilan bangun menyokong termasuklah supaya tarikh menentukan bila nak keluar dibuat boleh MT.
“Tetapi itu hanya ucapan dan bukan keputusan. Keputusan parti adalah berdasarkan usul yang dibawa oleh Datuk Saarani Mohamad (Pengerusi Umno Perak), dan usul yang disahkan Naib Presiden Umno bahawa tidak ada pindaan daripada usul itu,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu, kata Ahli Parlimen Arau tersebut berkata jika terdapat usaha usaha di pihak MT untuk keluar kerajaan sebelum Parlimen dibubarkan, maka itu adalah kesalahan patut dan mereka layak diambil tindakan.
Beliau juga berkata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terang-terangan telah melanggar keputusan parti iaitu menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, didakwa menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Katanya, pengisytiharan tersebut tidak tepat dan boleh dianggap membuat kenyataan salah kepada Seri Paduka Baginda.
“Kedua, audio percakapan dengan Anwar dan ketika pengakuan Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz) bahawa mereka tandatangan akuan bersumpah (SD) untuk suruh sokong Anwar di depan Anwar, Presiden, orang kenamaan dan ada beberapa kali Najib (Datuk Seri Najib Razak) hadir sama,” katanya.
Berikutan itu Shahidan berkata mereka layak diambil tindakan disiplin tetapi malangnya MT tidak berbuat demikian kerana mungkin tidak ada keberanian.
Perbuatan tersebut katanya, adalah pilih kasih kerana ada orang yang menegur Presiden telah diambil tindakan dan digantung keahlian Umno seperti Datuk Lokman Adam dan Tun Faisal Ismail.
“Tetapi kesalahan yang dibuat Presiden, Ahli MT mendiamkan diri. Atas dasar nak menjaga keharmonian atau takut, ingin saya pesan sekali lagi bahawa MT yang pegang jawatan memegang amanah.
“Jangan mendiamkan diri pada perkara yang tidak benar,” katanya lagi. – Malaysiapost

