AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan beliau tetap kekal dengan prinsipnya untuk patuh dan akur dengan keputusan parti berhubung penarikan sokongan Umno kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Ogos ini.
Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, prinsip beliau kekal selagi keputusan tersebut tidak lari daripada ideologi dan prinsip perjuangan Umno.
Katanya, ketika ini beliau masih tetap fokus melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
“Prinsip saya kekal. Ketika ini saya tetap focus melaksanakan tanggungjawab.
“Saya tetap patuh dan akur dengan keputusan parti selagi ianya tidak lari daripada ideologi dan prinsip perjuangan Umno,” katanya menerusi Facebook.
Malah, beliau turut tidak berasa bimbang jika kehilangan jawatan sebagai Menteri, namun sebaliknya memaklumkan takut jika Umno hilang sokongan.
Terdahulu, Utusan Malaysia yang memetik sumber melaporkan lebih 10 ahli Ahli Parlimen yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dipanggil menemui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengemukakan usul tarik sokongan daripada kerajaan dalam masa terdekat.
Difahamkan, pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan di Pejabat Umno.
“Presiden dengan timbalan bercadang mengemukakan satu usul kepada Ahli Majlis Tertinggi supaya Umno tarik sokongan daripada kerajaan dalam masa terdekat.
“Alasan mereka, sudah sampai masa Umno perlu ketuai walaupun ramai berpendapat sekarang bukan masa yang sesuai,” katanya. – Malaysiapost

