PM didesak umum tarikh sidang Parlimen selewatnya Isnin

0
1

SEMUA Ahli Parlimen termasuk di blok kerajaan digesa bersama-sama ke Parlimen 19 Julai ini sekiranya Perdana Menteri masih tidak membuat sebarang keputusan berhubung sidang Parlimen selewat-lewatnya Isnin ini.

Malis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan bersama hari ini, berkata ia sebagai tanda menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah agar Parlimen bersidang secepat mungkin.

Menurut kenyataan itu, PH memandang serius kenyataan Istana Negara pada 29 Jun lalu yang disifatkan sebagai bersejarah kerana ia merupakan kali ketiga Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh dan perlu bersidang.

“Majlis Presiden turut meneliti kenyataan media bersama Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bertarikh 30 Jun, bahawa satu persidangan khas Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos 2021 dicadangkan kepada Perdana Menteri.

“Namun kami kesal bahawa sehingga hari ini Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang langkah konkrit untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021,” katanya.

Sehubungan itu, Majlis Presiden PH berpandangan Perdana Menteri dan menteri berkenaan telah melakukan penderhakaan bukan sahaja terhadap Agong tetapi juga terhadap Raja-Raja Melayu yang turut menzahirkan pandangan sama.

Menurut kenyataan itu, sekiranya Perdana Menteri dan barisan menteri masih berdegil menderhaka kepada Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu, maka mereka bertanggungjawab mencetuskan krisis Perlembagaan.

“Sidang Parlimen yang perlu diadakan sebelum 1 Ogos 2021 ini mesti membahaskan krisis pandemik Covid-19 serta Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara, seperti titah pandangan Seri Paduka Baginda.

“Ini untuk memastikan usaha berkesan mengekang penularan wabak Covid-19 dan menyelesaikan masalah ekonomi dan kehidupan harian yang dihadapi rakyat,” katanya.

Majlis Presiden PH berkata, rakyat sekarang sangat tertekan sehingga ada yang membunuh diri dan mengibarkan bendera putih.

“Maka sidang Parlimen ini mesti memberi fokus isu rakyat dan bukan isu politik. Oleh itu, sekiranya Perdana Menteri tidak membuat sebarang pengumuman berkaitan sidang Parlimen selewat-lewatnya 5 Julai 2021.

“Maka kami menggesa semua Ahli Parlimen sama ada pembangkang mahupun kerajaan yang menjunjung titah Tuanku dan menghormati semangat Perlembagaan menurut prinsip demokrasi berparlimen untuk bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai ini,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here