Mufti Pulau Pinang tak setuju cadangan kibar bendera putih

0
1

JABATAN Mufti Negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan mengibarkan bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup untuk mengharapkan bantuan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihaknya beranggapan tindakan sedemikian tidak wajar kerana mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi.

Katanya, umat Islam perlu memahami bahawa sikap berputus asa dan mudah mengalah kepada kesusahan dan kesempitan hidup adalah dilarang.

Tambahnya, individu yang mudah mengalah kepada kesusahan dan berputus asa dalam menghadapi ujian hidup menunjukkan kelemahan iman dan tiada keyakinan kepada rahmat Allah SWT.

“Jabatan ini berpendapat masih banyak cara lain untuk mendapat bantuan bagi mengatasi kepayahan hidup golongan yang terjejas pendapatannya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Di samping bantuan yang sedia disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, bantuan juga boleh didapati daripada badan-badan dan agensi-agensi tertentu.

“Antaranya termasuk pusat-pusat pengurusan zakat setiap negeri; Jabatan Kebajikan Masyarakat; syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta di samping sumbangan individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau menyeru usaha-usaha intensif dan agresif ditingkatkan lagi oleh pihak berwajib untuk membantu mengatasi kemelut ekonomi yang dihadapi golongan yang terjejas dengan situasi ketika ini.

Wan Salim berkata, pihaknya merayu GLC dan syarikat-syarikat swasta menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing dan turut serta menyumbang dengan lumayan bagi meringankan keperitan hidup golongan terjejas.

Jelas beliau, wakil-wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri perlu memainkan peranan sebagai penghubung di antara golongan yang memerlukan bantuan dengan pihak yang boleh menyumbang.

“Ini kerana berkemungkinan mereka yang terjejas itu tidak tahu cara atau kaedah untuk memohon bantuan daripada pihak-pihak-pihak tersebut,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengajak seluruh umat Islam supaya memperbanyakkan doa dan munajat supaya pandemik Covid-19 segera berakhir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here