YANG di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta timbalan timbalan kedua-dua Dewan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini.
Perkara itu dinyatakan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim serta Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menerusi kenyataan bersama hari ini.
Kedua-duanya menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda.
“Kami sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di Pertua Dewan Rakyat menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda atas perkenan mengadakan majlis menghadap semalam yang turut dihadiri oleh timbalan-timbalan Yang di-Pertua kedua-dua Dewan.
“Pada majlis tersebut, Seri Paduka Baginda telah menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos 2021,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, titah Seri Paduka Baginda telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Adalah dicadangkan kepada Perdana Menteri agar satu persidangan khas diadakan sebelum 1 Ogos 2021 mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Semalam Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ia perlu diadakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ditetapkan kerajaan dan Parlimen Malaysia.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah demikian bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen.
Ia seperti yang termaktub dalam Perkara 160 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Rais dan Azhar di Istana Negara.
Turut hadir pada sesi selama sejam bermula 11 pagi semalam itu ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said. – Malaysiapost

