Sambut hari lahir, 12 dikompaun RM48,000

0
2
Polis Di Raja Malaysia

SERAMAI 12 individu dikompaun keseluruhan RM48,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengadakan sambutan hari jadi di sebuah kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur malam tadi.

Dalam operasi dan pemeriksaan kira-kira jam 10.30 malam itu, semua yang ditahan berusia 26 hingga 35 tahun membabitkan empat lelaki dan lapan wanita warga tempatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata pemeriksaan diketuai Asisten Superintendan Nazarul Izwan Abdul Manaf dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Dang Wangi.

“Pemeriksaan dijalankan di unit kediaman berkenaan kerana disyaki ada aktiviti penyalahgunaan dadah dan hasil pemeriksaan telah menahan 12 warga tempatan yang berada di kawasan ruang tamu premis.

“Pemeriksaan lanjut pada kesemua suspek dan di dalam premis tidak menjumpai apa-apa barang salah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek kemudian dikenakan kompaun atas kesalahan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021.

Katanya, kompaun itu kerana mereka gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan di bawah SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu melakukan aktiviti sosial atau terlarang.

“Kesemua suspek dibawa ke pejabat BSJN Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya dan siasatan awal mendapati kesemua mereka dijemput oleh seorang daripada yang ditahan bagi menyambut ulang tahun hari lahirnya.

“Setiap seorang menerima kompaun RM4,000 dengan jumlah keseluruhan adalah RM48,000 dan saringan awal urin mendapati semua suspek negatif dadah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here