Kes hasutan: Polis sedang mengesan N Ganesparan

0
1

Polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik Facebook, N Ganesparan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, perkauman dan bersifat jelik terhadap Institusi Diraja serta kerajaan yang boleh menggugatkan keamanan negara.

Pada 25 Jun lalu, suspek telah memuat naik sebuah video “Racist in vaccine Malaysia” melalui akaun Facebook Ganesparan Nadaraja yang mendakwa vaksin berkualiti rendah iaitu Sinovac dari China tidak berkesan dan diberikan kepada golongan bukan Muslim.

Manakala Muslim diberikan vaksin berkualiti tinggi iaitu Pfizer.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5) dan JSJ Bukit Aman.

“Kes ini di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang mempunyai kecenderungan hasutan serta Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mungkin menyebabkan kegentaran awam.

“Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, polis dalam usaha mengekang dan menangkap suspek yang dipercayai berada di Jerman.

“Semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati pergerakan keluar terakhir suspek ialah pada 2 November 2017 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan status pasport telah dibatalkan oleh JIM pada 25 November 2020,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk tampil bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here