DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein terus menjadi sasaran fitnah politik apabila tersebar surat yang mengaitkan namanya mendakwa sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Ianya apabila satu surat kononnya Menteri Luar itu memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan jumlah sokongan untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Bagaimanapun, pasukan komunikasi Hishammuddin menafikan surat tersebut dan menyatakan ia adalah palsu.
“Surat yang tersebar yang dikaitkan dengan DS @HishammuddinN2O adalah palsu dan tidak benar.
“Ini hanyalah provokasi politik yang berniat jahat, mengadakan fitnah untuk mengelirukan umum,” ciapannya di laman Twitter.
Antara intipati surat tersebut menyatakan bahawa Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) mencalonkannya sebagai Perdana Menteri selain senarai jemaah menteri daripada Umno, Bersatu, MCA, Warisan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut disertakan.
Dalam surat bertarikh 22 Jun itu, nama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di bahagian Timbalan Perdana Menteri 1 manakala Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri II.
Semalam, nama Ahli Parlimen Sembrong menjadi perbualan apabila Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menafikan beliau mengumpulkan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen BN untuk memberi sokongan terhadap Hishammuddin.
Sebaliknya, beliau menegaskan ia adalah surat pengakuan pemberian mandat kepada Hishammuddin sebagai jurucakap sekiranya dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

