SEBANYAK 21 lagi kluster baharu melibatkan tempat kerja dikenalpasti Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.
Jumlah itu adalah daripada keseluruhan 30 lagi kluster baharu yang dilaporkan KKM di seluruh negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor merekodkan kluster tempat kerja tertinggi iaitu lapan.
Ia membabitkan Kluster Tapak Bina Persiaran Aspirasi; Sungai Linau; Jalan Langat Utama Satu; Industri Jalan Kilang Bestari; Industri Jalan Seruling 57; Industri Rawang Perdana Satu; Industri Mahkota Beranang dan
Industri Jalan Udang.
Kluster tempat kerja di negeri lain yang dicatatkan hari ini adalah tiga di Negeri Sembilan; Kelantan (tiga), Johor dan Kedah masing-masing dua, manakala satu di Sarawak, Sabah, Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.
Selain itu, beliau berkata, terdapat lapan kluster berkaitan aktiviti komuniti iaitu tiga di Kuala Lumpur, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Kedah, Sabah, Sarawak dan Johor.
“Turut direkodkan ialah satu kategori kluster pendidikan kumpulan Berisiko Tinggi iaitu kluster Jalan Cox membabitkan daerah Klang yang setakat ini menyebabkan 15 kes dikesan positif Covid-19,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, secara keseluruhan sejak pandemik bermula terdapat 2,720 kluster Covid-19 di negara ini.
“Jumlah kluster yang sudah tamat adalah 1,853, manakala jumlah kluster aktif dengan kebolehjangkitan membabitkan 867 kluster,” katanya. – Malaysiapost

