Kerajaan ‘terpukul’ jika sidang DUN Johor, Perlis awal dari Parlimen

0
1

KERAJAAN akan merasa ‘terpukul’ sekiranya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Perlis dibuat lebih awal berbanding Parlimen.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata beliau berharap lebih banyak negeri yang menyatakan komitmen untuk mengadakan sidang DUN masing-masing.

“Johor umum sidang DUN pada 12 Ogos 2021. Perlis pula umum pada 24 Ogos. Semoga ada negeri lain akan turut menyegerakannya.

“Kalau sidang itu lebih awal daripada sidang Parlimen, ia satu pukulan kepada Kerajaan PN yang masih berdolak dalik mengenainya,” katanya dalam hantaran Facebook.

Mohd Puad berkata, selain Johor dan Perlis beberapa negeri lain termasuk Perak, Pahang, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka sudah pun menyatakan komitmen secara terbuka.

“Manakala negeri negeri di bawah pentadbiran PAS, Kelantan, Trengganu dan Kedah masih membisu. Kita faham kenapa.

“Semoga PM 8 dan semua Jamaah Menteri termasuk Shahidan buka mata. Menjunjung kasih Tuanku Sultan Johor,” katanya.

Hari ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankan Dewan Negeri Johor bersidang pada 12 Ogos ini.

Sultan Ibrahim dalam hantaran di akaun Facebook rasmi baginda, bertitah berkenan untuk berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Johor di Kota Iskandar, pada tarikh berkenaan.

“Saya mahu semua ADUN bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan negeri Johor, terutama membahaskan pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat terjejas akibat Covid-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi Johor dengan sebaiknya.

“Saya berasa amat sedih melihat kehidupan rakyat saya dalam kesusahan, ketakutan dan kegelisahan sekarang ini. Saya juga kecewa sehingga hari ini, penularan virus Covid-19 masih belum dapat diselesaikan,” titah baginda. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here