PENGLIBATAN dalam aktiviti sukan lasak mendaki gunung, tidak menghalang seorang pelajar, Sara Sofea Muhammah Illaham, 18, mencatat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, (SPM) baru-baru ini.
Pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor itu, sebelum ini mencatat kejayaan mendaki ke puncak gunung tertinggi di benua Eropah iaitu Gunung Elbrus di Rusia, setinggi 5,642 meter.
Kejayaan itu diciptanya pada 15 Ogos 2019, di bawah Program Pendakian Belia Merdeka 2020, anjuran Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA).
Atas kecemerlangan akademik dan ko-kurikulumnya itu, KJA telah menyampaikan sumbangan RM2,000 sebagai insentif dan penghargaan kepada Sara Sofea, baru-baru ini.
Majlis penyerahan sumbangan itu dilakukan secara dalam talian oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Yang Farina Abdul Aziz yang juga penggiat sukan mendaki gunung.
Sara Sofea berkata, beliau bercadang untuk menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran di samping akan meneruskan minatnya dalam sukan mendaki gunung.
“Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah kerana saya berjaya mencapai sasaran untuk mendapat keputusan 9A dalam SPM baru-baru ini.
“Terima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang sentiasa di belakang saya memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi”, katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa bertuah kerana mempunyai bapa yang banyak membimbingnya dalam sukan mendaki gunung ini.
“Pengalaman ayah saya sebagai Pendaki Everest amat membantu saya dalam semua pendakian saya sebelum ini.
“Minat saya dalam sukan mendaki ini akan saya teruskan dan saya merancang untuk pendakian ke gunung yang lebih tinggi pula selepas ini seperti Gunung Aconcagua, Argentina, yang tertinggi di Amerika Selatan dan Gunung Vinson Massif yang tertinggi di benua Antartika,” ujarnya lagi
Tambah beliau, sukan mendaki gunung yang diceburi telah banyak memberi inspirasi kepada dirinya untuk berjaya di dalam akademik.
Ini kerana menurutnya, kepayahan dan keperitan ketika mendaki gunung telah mengajarnya erti semangat perjuangan dan tidak putus asa dalam apa sahaja yang dilakukan.
“Situasi ketika mendaki gunung yang mencabar itu telah mengajar saya supaya kuat dari segi mental dan fizikal.
“Semangat itulah yang telah saya gunakan di dalam bidang akademik sehingga saya berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam SPM baru-baru ini,” katanya.
Bagi Sara Sofea, pembabitan di dalam sukan ekstrim mendaki gunung itu tidak sesekali menjejaskan tumpuannya di dalam pelajarannya.
Sementara itu, Timbalan Presiden KJA, Zainuddin Lot berkata, pihaknya akan berusaha mencari penaja untuk menyokong impian Sara Sofea menawan dua puncak tertinggi di benua Amerika Selatan dan Antartika itu.
“Kita sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sudi menjadi penaja kepada ekspedisi tersebut dan berharap Sara Sofea akan membawa nama negara sebagai pendaki wanita termuda Malaysia yang berjaya menawan puncak Aconcagua dan Vinson Massif,” katanya. – Malaysiapost

