POLIS berjaya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan yang mengakibatkan kerugian RM1. 89 juta dengan tertangkapnya sembilan suspek dalam beberapa siri serbuan yang dijalankan di Kedah, Kuala Lumpur dan Johor.
Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) melalui Op Nuri itu dijalankan sejak 17 Jun lalu, berjaya menahan kesemua suspek berusia 23 hingga 62 tahun.
Pengarah JSJK, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket penipuan pelaburan itu bergerak atas nama ‘Skim Pelaburan Banker Capital (BKC)’ dan ‘Skim Pelaburan Wow Exchange PU’ dengan dua modus operandi berbeza bagi memperdaya mangsa.
“Bagi skim pelaburan BKC, sindiket mempromosikan pelaburan dengan kadar keuntungan 100 peratus hingga 400 peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan.
“Pelabur diyakinkan wang pelaburan mereka dilabur di dalam dan luar negara yang berpontensi menjana keuntungan tinggi melalui beberapa pakej pelaburan serendah 100 solar Amerika Syarikat (AS) hingga 10,000 dolar AS.
“Pelaburan Wow Exchange Ou pula, sindiket mendakwa pelaburan berasaskan mata wang kripto dan e-wallet kononnya melalui syarikat di Singapura yang sedang dalam proses mendapatkan lesen daripada kerajaan negara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, setakat ini sembilan kertas siasatan sudah dibuka membabitkan sindiket penipuan pelaburan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan; Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Hasil Aktiviti Haram; dan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi yang dibelenggu dengan pandemik Covid-19, banyak pihak terutamanya individu-individu yang terjejas mula mencari peluang untuk menambah pendapatan dengan jalan mudah dan situasi ini membuka peluang kepada sindiket penipuan pelaburan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya promosi pelaburan di media sosial dan perlu sentiasa waspada dengan pelaburan yang menjanjikan pulangkan lumayan,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Bernama

