Pengambilan khas guru secara ‘one-off’ timbulkan lebih banyak masalah – pensyarah

0
2
Dr Anuar Ahmad

LANGKAH Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pengambilan khas lebih 18,000 guru secara ‘one-off’ akan menimbulkan lebih banyak masalah kepada struktur dan kualiti keguruan.

Pandangan itu disuarakan Dr Anuar Ahmad dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang beranggapan walaupun baik untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru, malangnya strategi digunakan tidak sesuai.

“Pertama, kualiti pendidikan akan terjejas bila graduan bukan ijazah pendidikan mula mengajar tanpa kemahiran pedagogi.

“Keduanya, lambakan graduan pendidikan yang lebih serius di masa hadapan. Ini akan memberi kesan kepada kewujudan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Fakulti Pendidikan di universiti awam (UA) seluruh negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini, KPM mengumumkan akan melaksanakan pengambilan khas guru secara ‘one-off’ melibatkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 bagi mengisi kekurangan guru dalam mata pelajaran tertentu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pengambilan khas guru itu membabitkan 18,702 kekosongan dan permohonan akan bermula pada 7 Julai ini.

Mengulas lanjut, Dr Anuar berkata sepatutnya hanya graduan bidang pendidikan sahaja layak memohon dan diterima untuk mengisi 18,702 jawatan baru one-off tersebut.

Analoginya, soalnya, bolehkah graduan bidang lain diambil untuk menjadi doktor, peguam atau jurutera?

“Mengapa dalam profesyen keguruan ini dibenarkan? Bukankah ini satu tindakan yang tidak profesional dan akan menjejaskan kualiti keguruan negara?

“Apakah ibubapa bersedia anak-anak mereka diajar guru yang tiada langsung latar belakang pendidikan? Ini sudah seperti tahap kelas tuisyen swasta dan bukan lagi menggambarkan sebuah institusi sekolah kerajaan.

“KPM telah melakukan tindakan tidak tepat dan ini akan merosakkan kualiti pendidikan di Malaysia apabila membenarkan graduan bukan pendidikan untuk mengisi jawatan guru secara one-off,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya apa yang dilakukan KPM ialah mengarahkan IPG dan semua Fakulti Pendidikan UA segera membuat pengambilan lebih ramai pelajar pendidikan secara one-off bagi subjek yang kekurangan guru.

Beliau memberi contoh, jika mata pelajaran Bahasa Melayu kekurangan guru, KPM arahkan IPG Pendidikan Bahasa Melayu dan UA yang mempunyai program Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu membuat pengambilan lebih ramai secara one off untuk mengisi kekurangan tersebut.

Pada masa sama, katanya, IPG dan UA boleh melantik pensyarah kontrak untuk melatih lebih ramai guru yang diperlukan.

“Sepatutnya KPM wujudkan sistem ‘dashboard’ data berkaitan sistem pendidikan negara termasuklah kekosongan guru terkini setiap daerah.

“Apakah pengambilan secara ‘one off’ ini akan merencatkan perancangan unjuran program pengajian pendidikan di UA dan IPG? Jawabnya ya.

“Apabila pengisian jawatan baru berlaku secara one-off, keperluan guru untuk masa terdekat akan lebih mengecil kerana perjawatan telah diisi penuh.

“Apa kesudahannya kepada graduan pendidikan yang akan tamat belajar nanti? Mereka telah dilatih spesifik untuk keguruan, mereka tentunya tidak kemahiran di dalam bidang yang lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here