“SAYA tidak meminta Ronaldo jersinya, saya hanya mahu menikmati kemenangan ini.”
Perkara itu dinyatakan Robin Gosens kepada Sky Italia selepas Jerman menewaskan Portugal 4-2 dalam aksi Euro 2020 awal pagi tadi.
Pemain Atalanta dalam Seria A Itali itu berkata demikian ketika ditanya sama ada dia ada meminta untuk bertukar jersi buat kali kedua dengan Cristiano Ronaldo.

Dalam aksi di Munich itu, Jerman bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan pertama dalam aksi Kumpulan F.
Ronaldo meletakkan Portugal di depan tetapi dua gol sendiri oleh Ruben Dias dan Raphael Guerreiro memastikan Juara Dunia 2014 itu mendahului sebelum tamat babak pertama.
Sebaik babak kedua bersambung, Kai Havertz meledak gol ketiga Jerman sebelum Gosens menjaringkan gol keempat menerusi tandukan cantik.
Pemain Liverpool, Diogo Jota merapatkan jurang buat Portugal namun ia tidak cukup untuk juara bertahan itu mengelak kekalahan.
Gosens dinamakan pemain terbaik perlawanan berdasarkan prestasi cemerlangnya tetapi pertahanan Atalanta itu enggan meminta jersi Ronaldo sebaik tamat perlawanan selepas dimalukan pada 2019.
Selepas Atalanta menewaskan Juventus pada suku akhir Piala Itali, Gosens meminta untuk bertukar jersi dengan Ronaldo tetapi bintang Portugal itu mengatakan tidak dan berlalu pergi.
“Saya sangat malu dan muka saya merah,” tulis Gosens dalam buku autobiografinya. – Malaysiapost

