SEORANG wakil Rakyat PKR menghadiahkan kamus kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad memaklumkan beliau baru sahaja selesai menghantar kamus itu kepada Takiyuddin secara pos, hari ini.
Beliau turut menyertakan gambar pembuktian resit penghantaran ke alamat pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut.
Tindakan Muhamad Arafat menghadiahkan kamus itu susulan kenyataan Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkenaan pandangan Yang Di Pertuan Agong baru-baru ini agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Rabu lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Bagaimanapun, Takiyuddin pula berkata pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan Parlimen dibuat secepat mungkin tidak memperinci tarikh perlu diadakan.
“Perkataan digunakan dalam kenyataan Yang di-Pertuan Agong adalah ‘persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin’.
“Yang di-Pertuan Agong pun tidak menitahkan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan pada bulan tertentu, sebaliknya secepat mungkin.
“Perdana Menteri kata pun September atau Oktober. Sekarang kita dah hampir penghujung Jun. Selepas ini Julai, Ogos, September…sudah hampir. Pasti persidangan akan diadakan,” katanya. – Malaysiapost

