Senarai individu didaftarkan sebagai RELA sudah dikenal pasti

0
1

SENARAI individu yang namanya didaftarkan sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam sistem MyRELA baru-baru ini telah dikenal pasti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya kini dalam proses menghubungi individu berkenaan bagi mendapatkan maklumat berhubung perkara itu.

“Kita sudah kenal pasti jumlah keseluruhan (individu yang terbabit) dan kini dalam proses menghubungi seorang demi seorang dahulu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Sebelum ini, sistem pendaftaran anggota RELA dilakukan secara manual sebelum dimasukkan dalam sistem kemasukan dan sebab itu kita minta mereka (RELA) menghubungi individu berkenaan untuk tahu siapa orangnya,” katanya dipetik Harian Metro, hari ini.

Hamzah berkata, terdapat beberapa individu yang dihubungi memaklumkan ada pihak meminta tandatangan mereka sebelum ini.

“Ada dua, tiga individu yang kita hubungi memaklumkan ada orang minta tandatangan mereka.

“Namun, mereka sendiri tidak tahu sama ada tandatangan itu untuk kemasukan sebagai anggota RELA atau tidak.

“Sesiapa yang mahu menyertai Rela perlu memastikan penyertaan dilakukan adalah betul,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kecoh di media sosial apabila netizen memuat naik status yang mendakwa mereka didaftarkan sebagai anggota RELA secara automatik dalam sistem MyRELA tanpa pengetahuan.

RELA dalam kenyataan memaklumkan agensi itu akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) dikuatkuasakan pada 2012.

Pihak Rela juga menafikan berlakunya pendaftaran secara automatik dan menegaskan perbuatan itu bercanggah dengan perkara dinyatakan dalam Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here