Takiyuddin didesak letak jawatan, didakwa tak hormati titah Agong

0
1

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dipecat daripada jawatannya kerana didakwa tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong mengenai pembukaan sidang Parlimen.

Desakan itu dibuat susulan kenyataan Takiyuddin semalam yang mendakwa Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah tidak memperincikan bila persidangan Parlimen perlu dilaksanakan.

“Takiyuddin harus dipecat kerana tidak menghormati undang-undang dan derhaka secara terbuka terhadap raja dan harapan rakyat agar parlimen bersidang secepat mungkin seperti yang dititahkan Agong dan Raja-Raja Melayu semalam.

“Tindakan Takiyuddin memutarbelitkan titah ‘secepat mungkin’ dengan menyatakan Agong tidak menyatakan tarikh yang tepat atau bulan bila Dewan Rakyat harus bersidang, adalah tidak bertanggungjawab dan tidak jujur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir dalam ciapan Twitternya memaklumkan akan membuat laporan polis berhubung kenyataan Takiyuddin hari ini.

“Berhubung dalih dan putar belit Takiyuddin berhubung titah YDPA, Pemuda PH akan buat laporan polis di IPD Dang Wangi petang ini.

“Kita gesa agar kebiadaban ini disiasat. #KerajaanBodoh,” ciapnya.

Semalam, Takiyuddin berkata, Al-Sultan Abdullah tidak memperincikan bila persidangan Parlimen perlu dilaksanakan dan Tuanku hanya berpandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Takiyuddin berpandangan, kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, bahawa Parlimen boleh bersidang sekitar September atau Oktober, juga bertepatan dengan saranan ‘secepat mungkin’ yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah.

Tedahulu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here