LEBIH 500 syarikat melibatkan 106,591 pekerja sudah membuat permohonan untuk menyertai Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) setakat ini.
Menteri Perdagangan Antrabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menggesa syarikat lain yang belum menyertai program itu agar mendaftar segera.
Menurutnya, program vaksinasi yang mengutamakan pekerja dalam sektor pembuatan itu bertujuan melindungi pekerja daripada risiko jangkitan Covid-19 di premis perniagaan atau perkilangan.
“PIKAS akan dijalankan di premis kilang dan lokasi perindustrian yang dikenal pasti.
“Kepada pengusaha sektor pembuatan yang belum mengetahui, vaksin di bawah PIKAS ini adalah percuma.
“Syarikat hanya perlu mengikut terma dan syarat, antaranya memastikan pekerja berdaftar dengan MySejahtera untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, meskipun PIKAS berkonsepkan sukarela, pihaknya amat menggalakkan pemain industri untuk turut serta bagi mengekang penularan Covid-19 di tempat kerja, seterusnya membantu kerajaan menyegerakan imunisasi bagi rakyat.
“Jadi, tunggu apa lagi? Mohon segera di www.miti.gov.my.
“Borang yang telah diisi, boleh juga dihantar ke persatuan industri, persatuan perniagaan atau emel ke [email protected]. Bersama kita cegah penularan wabak Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

