Tak salah rakam tindakan penguatkuasa, individu di tempat awam – peguam

0
1

TIDAK menjadi kesalahan atau tegahan merakamkan sebarang tindakan yang dilakukan oleh penguatkuasa atau individu di tempat awam.

Perkara itu dijelaskan peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan susulan insiden penguatkuasa cuba merampas telefon bimbit individu yang mengambil rakaman video peniaga menjual tanpa lesen di Pasir Mas yang tular di media sosial semalam.

Beliau menjelaskan, perbuatan merakam kejadian tidak boleh dilakukan sekiranya ada arahan khusus seperti di dalam bilik bicara mahkamah atau wad hospital.

“Apa yang dinyatakan di dalam undang undang adalah pihak berkuasa boleh merampas telefon bimbit sekiranya mempercayai ia adalah harta curi atau harta yang bersalahan dengan undang undang.

“Mungkin kerana itu wartawan TV3 di dalam rancangan 999 boleh sahaja untuk merakamkan operasi serbuan dan tangkapan oleh pihak berkuasa terhadap suspek dan disiarkan untuk tontonan umum.

“Mungkin semasa rakaman, akan ada pihak yang tidak berpuas hati tetapi sekiranya undang-undang membenarkan maka tiada kesalahan dilakukan oleh perakam,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, polis menjalankan siasatan berhubung video tular pergelutan antara seorang penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) Pasir Mas dan peniaga nasi dalam kejadian bersebelahan Bank Islam di daerah itu, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata pihaknya juga sedang mengesan peniaga berkenaan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, setakat ini polis menerima satu laporan polis daripada seorang penolong pegawai penguat kuasa PBT berusia 33 tahun malam tadi, susulan videonya merebut telefon peniaga ketika menjalankan tugas tular sejak petang semalam.

“Berdasarkan laporan dibuat, kejadian berlaku ketika penguat kuasa berkenaan bersama tujuh lagi rakan setugas lain membuat operasi di lokasi berkenaan terhadap penjaja tanpa lesen.

“Ketika operasi dijalankan, seorang lelaki iaitu penjaja nasi bungkus merakam menggunakan telefon bimbiit dan penguat kuasa berkenaan cuba menghalang lelaki terbabit daripada terus berbuat demikian sehingga berlaku pergelutan.

“Ketika pergelutan, penjaja berkenaan mengeluarkan kata-kata kesat serta menghalang penguat kuasa menjalankan tugas,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Hasif Hasan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here