Saya masih terkejut, menentang Markis Kido jadi kenangan – Kien Keat

0
2

“SAYA masih terkejut dengan berita ini. Hingga sekarang saya masih menerima teks daripada rakan-rakan,” kata bekas pemain beregu negara, Koo Kien Keat mengenai kematian bintang beregu Indonesia Markis Kido.

Menurut bekas juara All England itu, kematian Markis adalah sesuatu tidak terduga apatah lagi Markis yang akan genap berusia 37 tahun pada 11 Ogos ini disifatkan masih muda.

Mengimbau kenangan menentang Markis, Kien Keat berkata, pemain legenda dunia yang setahun lebih tua daripadanya itu, bukan asing kerana kerap bertembung di gelanggang sejak peringkat remaja.

“Saya sudah menentangnya sejak saya berusia 17 tahun iaitu di Kejohanan Remaja Asia dan Remaja Dunia. Kemudian dia tetap menjadi pesaing utama ketika di pentas senior.

“Corak permainan kami hampir sama dengan tugas utama ialah untuk membuka ruang kepada pasangan masing-masing melakukan serangan.

“Dia adalah lawan perlu dihormati dan kenangan bermain menentangnya akan tetap saya simpan,” katanya dipetik Cakap Sukan.

Dunia badminton dikejutkan berita kematian Markis berpunca serangan jantung ketika bermain badminton semalam.

Markis, yang menjadi jurulatih di kelab Jaya Raya, meninggal dunia selepas rebah ketika mahu bertukar gelanggang sewaktu bermain di badminton di Tangerang, di pinggir Jakarta.

Bekas juara Sukan Olimpik Beijing 2008 bersama Hendra Setiawan, mempunyai sejarah penyakit hipertensi menyebabkan mereka tidak dapat mempertahankan gelaran juara dunia pada 2009.

Menurut Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PPBSI), bimbang dengan catatan tekanan darahnya yang agak tinggi, malah pemain ini pernah pengsan ketika latihan fizikal skuad badminton Indonesia pada Jun 2009.

Kien Keat berkata, ia adalah kematian kedua pemain beregu dunia selepas Jung Jae-sung dari Korea Selatan, yang memenangi gangsa di Sukan Olimpik 2012, meninggal dunia pada usia 35 tahun pada Mac 2018.

“Dua pemain beregu meninggal pada usia hampir sama. Ini sememangnya sesuatu yang membimbangkan apa lagi serangan jantung boleh berlaku akibat pelbagai faktor.

“Selepas melihat apa yang berlaku, saya mungkin tidak mahu bermain badminton lagi dan melakukan senaman sahaja untuk mengekalkan kecergasan.

“Sememangnya kalau bermain (secara sosial) kita boleh memperlahankan rentak tetapi sebagai pemain yang sudah beraksi di pentas tertinggi, pastinya keinginan untuk menang sentiasa ada…ini yang saya risaukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here