YANG di-Pertuan Agong telah selesai menerima menghadap seramai 18 pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya di Istana Negara, bermula 9 Jun hingga petang hari ini.
Selain pemimpin parti politik, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menerima menghadap Tun Arifin Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Derurat 2021, di Istana Negara, hari ini.
Menerusi kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam sesi menghadap para pemimpin parti politik, Seri Paduka Baginda berkenan mendengar pandangan mereka tentang pelbagai isu.
“Perlu dijelaskan bahawa sesi menghadap pemimpin parti politik adalah atas inisiatif serta keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda dan berkaitan usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 serta pelaksanaannya semasa tempoh Darurat.
“Susulan sesi menghadap ini, pandangan yang telah dikemukakan oleh para pemimpin parti politik akan diwasilkan di Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok, yang akan bermula pada jam 2 30 petang.
“Selain daripada itu, beberapa pakar dan agensi-agensi kerajaan turut dijadual memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara di Perbincangan Khas Raya-Raja Melayu esok,” katanya. – Malaysiapost

