Langkawi bakal jadi projek perintis pembukaan semula destinasi pelancongan

0
1
Kredit: Langkawi Info

MALAYSIA dan Qatar merancang membuka semula penerbangan terus dari negara teluk itu ke Langkawi melalui Qatar Airways bagi memulihkan aktiviti pelancongan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata projek perintis itu dicadang menerusi ‘travel bubble’ yang boleh dilaksanakan apabila sempadan negara dibuka untuk aktiviti pelancongan kelak.

“Projek perintis itu dapat memulihkan semula industri pelancongan negara terutama di Langkawi setelah semua penduduk pulau itu mencapai tahap imuniti kelompok dan sempadan negara dapat dibuka semula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar Qatar ke Malaysia, Fahad Mohd Y Kafoud secara dalam talian pada pagi tadi.

Sesi pertemuan tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Antara perkara yang disentuh adalah mengenai cabaran industri pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19, serta bagaimana kedua-dua negara melihat potensi pelancongan menerusi travel bubble dapat dilaksanakan apabila sempadan negara dibuka untuk aktiviti pelancongan.

Dalam pertemuan itu, sesi penerangan disampaikan Regional Manager of Qatar Airways, Datuk Muzammil Mohamad berhubung inisiatif-inisiatif syarikat penerbangan tersebut dalam menghadapi pandemik Covid-19 termasuk cadangan membuka semula penerbangan terus dari Qatar ke Langkawi.

Mengulas mengenainya, Nancy berkata, Malaysia sentiasa mengalu-alukan kerjasama erat dengan Qatar.

Mengenai inisiatif Malaysia pula, katanya, MOTAC sedang berusaha ke arah menjadikan Langkawi sebagai destinasi perintis untuk Program Covid-19 Free Destination dengan menyasarkan 80 peratus penduduk pulau tersebut mencapai tahap imuniti kelompok.

“Ia juga sebagai persediaan awal untuk menyemarakkan industri pelancongan yang juga akan dilaksanakan secara berperingkat di lokasi-lokasi yang lain,” katanya.

Langkawi merupakan antara destinasi pelancongan perintis yang dipilih memandangkan pulau tersebut turut menjadi pintu masuk penerbangan antarabangsa termasuk Qatar Airways.

Nancy berkata MOTAC juga mengambil inisiatif untuk menawarkan mana-mana fasiliti atau aset yang bersesuaian di bawah MOTAC untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekiranya diperlukan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi mempercepatkan proses vaksinasi di seluruh negara. – Malaysiapost

Foto Kredit: Langkawi Info

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here