PERTUBUHAN Kebajikan Komuniti Prihatin Malaysia (PRIHATIN) menggesa kerajaan mengenakan cukai khas ke atas semua pekerja asing yang bekerja di dalam negara.
Presidennya, Irwan Fahmi Ideris berkata ia perlu diperhalusi dan perlaksanaan cukai itu sepatutnya telah lama dilaksanakan.
Ini kerana katanya saban tahun warga asing yang telah bekerja lama di negara akan pulang ke negara asal dengan membawa jutaan ringgit wang keluar dari negara.
“Setiap rakyat Malaysia telah menikmati subsidi dari kerajaan melalui barangan asas dan keperluan harian seperti makanan, minyak dan gas.
“Mereka (pekerja asing) juga menikmati subsidi yang sama dari kerajaan sedangkan tidak membayar apa-apa cukai selain permit dan levi semasa ingin masuk ke negara ini.
“Mengapa hal ini terus dibiarkan berlaku begitu saja? Rakyat Malaysia berpendapatan RM3,100 ke atas perlu membayar cukai pendapatan bagi memberi keseimbangan ekonomi dalam negara.
“Mengapa pekerja asing yang bertahun-tahun kerja ini tidak dikenakan cukai? Ini sama sekali tidak adil buat negara kerana mereka menikmati subsidi dari kerajaan sama seperti rakyat Malaysia yang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Irwan Fahmi berkata rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara perlu membayar cukai dari pendapatan mereka sekitar 15 hingga 20 peratus hasil dari pendapatan mereka dan ia akan dapat memberi keseimbangan ekonomi negara tersebut.
Sehubungan itu beliau berkata mengapa kerajaan tidak boleh melaksanakan perkara yang sama?
“Saya mencadangkan agar sistem percukaian khas dibuat untuk setiap pekerja asing yang bekerja di Malaysia. Kerajaan boleh membuat kutipan cukai setiap bulan dari potongan gaji mereka melalui pihak majikan.
“Pihak majikan membayar kepada kerajaan melalui sistem seperti KWSP. Jadi pekerja asing ini tidak dapat mengelak membayar cukai dan sekiranya terdapat perbuatan untuk mengelak cukai, majikan perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pekerja terbabit dan tindakan undang-undang dikenakan ke atas majikan.
“Saya kira sudah sampai masa kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengkaji semula perlaksanaan cukai ini terhadap mereka,” katanya.
Beliau berkata semua negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi dunia sedang melanda. Beberapa negara kini sangat terjejas ekonomi mereka akibat kesan dari wabak itu.
Berikutan itu, katanya Malaysia perlu ada sistem cukai tambahan seperti itu bagi memberi sokongan dan peningkatan graf ekonomi.
“Kerajaan tidak akan selamanya bertahan dengan sistem cukai sedia ada dan pada masa yang sama pemberian kemudahan kepada penduduk negara seperti subsidi ini tidak diseimbangkan dengan kadar cukai yang dikutip terutama dari pekerja asing.
“Cukup-cukuplah mereka nikmati kemudahan negara yang diperoleh secara percuma selama ini. Kini sudah sampai masa untuk kita mendapatkan semula kutipan cukai dari mereka agar sistem ekonomi negara dapat diperkukuhkan.
“Jangan sampai tahap kita sudah tidak mampu beri subsidi kepada rakyat baru nak laksanakan sistem kutipan cukai kepada mereka.
“Jangan biar sampai nasi menjadi bubur. Ekonomi negara harus dipertingkatkan. Jika kutipan cukai ini ditadbir urus dengan baik pasti akan memberi kesan positif kepada kewangan negara,” katanya. – Malaysiapost

