Kerajaan iktiraf sepenuhnya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat

0
1

KERAJAAN mengiktiraf sepenuhnya kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas yang diwujudkan di bawah seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kenyataannya semalam berhubung peranan kerajaan dari segi Perlembagaan dan undang-undang terhadap pengisytiharan darurat dilihat dipetik di luar konteks sebenar.

“Justeru, saya mengulangi komitmen dan jaminan bahawa Kerajaan akan sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawabnya semasa membuat sebarang keputusan mengenai darurat termasuk mengiktiraf segala mekanisme yang wujud secara sah di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sebaliknya memberikan sepenuhnya kerjasama.

“Ia bertujuan supaya jawatankuasa ini dapat melaksanakan fungsinya sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 2 iaitu penubuhan jawatankuasa khas bebas untuk menasihati Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (Covid 19)”,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga terus berperanan menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan semasa tempoh darurat berkuatkuasa.

“Ia sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 11, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

“Justeru dalam keadaan negara kita masih lagi berperang dengan pandemik Covid-19 ini, sebaiknya semua pihak perlu akur kepada fungsi masing-masing yang ditetapkan di bawah kerangka perundangan sedia ada,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Takiyuddin dalam kenyataan berkata, menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Agong dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Beliau berkata, persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat 1 Ogos depan diteruskan atau tidak atas budi bicara Agong, tidak seharusnya timbul.

Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Tan Sri Noh Omar menyifatkan kenyataan Takiyuddin itu sebagai penghinaan terhadap jawatankuasa berkenaan.

Sementara, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula menyifatkan ia mengelirukan sekali gus menimbulkan beberapa persoalan termasuk apakah fungsi jawatan kuasa menasihati tentang tarikh darurat ditamat atau disambung kini diambil-alih oleh Jemaah Menteri.– Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/13/ini-penghinaan-terhadap-ahli-jawatankuasa-khas-bebas-darurat/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here