
PERSATUAN Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) meminta kerajaan membenarkan operasi restoran pihaknya dilanjutkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata permohonan itu dibuat membabitkan lebih 4,200 ahlinya yang mengusahakan 12,500 restoran di seluruh negara.
Beliau berkata, ia bagi membolehkan sektor itu kembali pulih susulan pandemik yang menyebabkan pendapatan harian ahlinya merosot 80 peratus.
“PRESMA berharap lanjutan tempoh berkenaan bukan saja membantu peniaga, malah pelanggan yang turut berdepan kesukaran mendapatkan makanan pada waktu operasi 8 pagi hingga 8 malam seperti sekarang.
“Selain itu, PRESMA tiada sebarang masalah dengan pembelian secara bungkus kerana ia adalah langkah perlu bagi menghalang jangkitan Covid-19,” katanya dalam kanyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, PRESMA masih menunggu perkembangan mengenai moratorium automatik, subsidi sewa serta beberapa pengumuman lain yang berkaitan demi manfaat ahli.
“PRESMA juga akan merujuk isu lanjutan waktu operasi ini kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu terdekat,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan membenarkan waktu operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan sepanjang PKP 3.0 akan hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata peraturan itu berkuat kuasa di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula pada 25 Mei lalu. – Malaysiapost
