PM lawat Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM

0
1

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melawat Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk melihat persiapan pihak HPKK sebelum mula menerima dan merawat pesakit Covid-19 minggu hadapan.

Muhyiddin menerusi kenyataan berkata, pengoperasian HPKK UKM sebagai sebuah hospital Covid-19 adalah susulan penguatkuasaan Seksyen 3 dan 4 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah ditandatanganinya pada 4 Jun lalu.

“Melalui kedua-dua seksyen ini, Kementerian Kesihatan (KKM) boleh mengambil milikan sementara HPKK UKM dan lain-lain sumber termasuk sumber manusia bagi tujuan menangani pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah dengan adanya HPKK UKM ini, KKM mempunyai fasiliti tambahan untuk menguruskan pesakit Covid-19 yang kritikal dari kawasan sekitar Lembah Klang,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Muhyiddin menyatakan langkah seperti kerjasama antara KKM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Ordinan Darurat ini penting untuk menentukan supaya sistem kesihatan negara tidak runtuh sewaktu situasi pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah sejak bermulanya pandemik ini sehinggalah sekarang, kerajaan terus komited membiayai pelbagai kemudahan dan peruntukan di bawah Ordinan Darurat bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan negara kita dapat meneruskan fungsinya pada tahap optimum,” ujarnya.

Muhyiddin juga berkesempatan melihat proses pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di HPKK UKM yang dioperasikan secara bersama dengan kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

“Insya-Allah semoga usaha ini akan membantu untuk mempercepatkan proses pemberian vaksinasi dan seterusnya mencapai imuniti berkelompok yang disasarkan,” katanya.

Pada 22 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, kerajaan akan menggunakan Ordinan Darurat untuk mengambil alih dua hospital yang belum beroperasi, iaitu Hospital Cyberjaya dan HPKK UKM sebagai pusat rawatan Covid-19.

Ia susulan lonjakan jumlah pesakit Covid-19 di Lembah Klang, khususnya yang perlu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan ventilator. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Muhyiddin Yassin

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/05/27/pm-lawat-mangsa-insiden-lrt/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here