PRESIDEN Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali, berpendapat rakyat kini berdebar menunggu keputusan Majlis Raja-Raja bagi menyelesai kemelut politik negara dan ancaman berterusan Covid-19 serta ekonomi yang semakin merudum.
Menurutnya, selepas sesi pemimpin parti politik utama negara menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara minggu ini, rakyat pastinya menunggu keputusan Majlis Raja-Raja yang dijadual bersidang 16 Jun ini.
“Yang di-Pertuan Agong sedang bertemu dengan semua pemimpin utama parti politik yang mempunyai wakil dalam Parlimen bermula 9 Jun lalu dan yang sudah menghadap juga telah memberi kenyataan pada media.
“Semuanya menjadi teka teki apa yang akan diputuskan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seperti diketahui umum bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan secara terbuka beliau mencadangkan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) seperti pada 1969 yang boleh dilaksanakan jika kerajaan bersetuju.
“Namun apakah di bawah Ordinan Darurat, Agong mesti mendapat persetujuan kerajaan, ia tidak dapat dipastikan dan apakah setakat ini sahaja kuasa Agong?
“Maka lebih baiklah serah sahaja kepada kerajaan secara total tanpa ada semak dan imbang apa sahaja mahu dilaksanakan tidak perlu semak dan imbang, baik Parlimen atau Majlis Raja-Raja Melayu yang menjadi payung rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata, selain itu kerajaan melalui Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, juga membuat kenyataan secara terbuka bahawa tidak perlu diwujudkan MAGERAN dan pendirian sama dibuat Pakatan Harapan (PH).
“Putra sebelum ini juga mencadangkan darurat dengan menubuhkan MAGERAN untuk mentadbir negara seketika sehingga dapat menstabilkan semula politik negara.
“Banyak tokoh masyarakat bersetuju dengan cadangan MAGERAN dan terakhir Tun M sendiri membuat cadangan sama, tapi bezanya Tun M juga mencadangkan beliau sendiri setuju untuk mengetuai MAGERAN jika dapat perkenan Agong.
“Putra menyerahkan kepada kebijaksanaan Agong dan berharap sesiapa yang dilantik mestilah tokoh berintegriti, berwibawa, berpengalaman dan diterima semua pihak jika MAGERAN jadi pilihan dan boleh dilaksanakan,” katanya.
Beliau berpendapat, jika MAGERAN bukan pilihan menyelesaikan krisis dihadapi negara, maka amat wajar darurat ditamatkan serta-merta dan Parlimen dibenar bersidang segera.
“Urusan menangani Covid-19 boleh diurus melalui prosedur operasi standard (SOP) yang lebih berkesan dengan menubuhkan Jawatankuasa Operasi Khas Covid-19 dan Jawatankuasa Pemulihan Ekonomi Negara yang dianggotai pakar berwibawa.
“Nasib baik sejarah rakyat Malaysia adalah rakyat yang tinggi nilai kesabarannya. Janganlah kesabaran rakyat hilang perhitungannya. Bermula hujan rintik-rintik berakhir dengan ribut dan taufan,” katanya. – Malaysiapost

