Keputusan SPM buka banyak persoalan – pensyarah

0
1
Dr Anuar Ahmad

KEPUTUSAN Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini membuka lebih banyak persoalan berbanding jawapan.

Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, seperti dimaklumkan Dr Radzi, Kementerian Pendidikan (KPM) akan menganalisis keputusan SPM dan menyediakan laporan lengkap dalam masa terdekat.

Menurutnya, tiga persoalan besar yang perlu dianalisis secara terperinci iaitu prestasi purata pencapaian pelajar yang mengambil SPM 2020 adalah lebih baik dari SPM 2019.

Selain itu, katanya, Dr Radzi memaklumkan Gred Purata Nasional (GPN) 2020 adalah yang terbaik sejak lima tahun lalu, sekali gus menandakan walaupun pendidikan dalam persekitaran pandemik sejak Mac 2020, prestasi akademik tetap meningkat.

“Nampaknya walaupun waktu pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkurangan dengan banyak (110 hari), guru sendiri mengakui sukar untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), para ibu bapa pula mengeluh anak-anak sukar belajar di rumah, data dari keputusan SPM 2020 menunjukkan keadaan sebaliknya.

“Apakah faktor utama sehingga keadaan ini berlaku? Tentu sahaja ramai pakar pendidikan seluruh dunia mahu belajar dari kejayaan Malaysia.

“Tentu negara-negara lain ingin tahu bagaimana dalam keadaan bencana pandemik yang melanda negara, sesi persekolahan ditutup 110 hari, tetapi prestasi akademik pelajar masih terus meningkat, malah lebih baik berbanding ketika negara dalam keadaan normal sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Anuar berkata, persoalan kedua didapati GPN SPM 2020 bagi calon luar bandar menunjukkan peningkatan prestasi lebih tinggi berbanding GPN pelajar bandar.

Katanya, data menunjukkan GPN pencapaian pelajar luar bandar meningkat 0.08 bila dibandingkan antara tahun 2019 (GPN 5.14) dan 2020 (GPN 5.06), sedangkan pelajar bandar hanya meningkat 0.02 sahaja.

“Perbezaan angka peningkatan 0.06 adalah besar sebenarnya dalam pengiraan GPN. Ini sangat menarik. Maksudnya dalam keadaan persekitaran pandemik, walaupun sekolah lama ditutup, tiada akses internet dan tiada pemilikan peranti pembelajaran untuk PdPR yang meluas dalam kalangan pelajar luar bandar, mereka menunjukkan peningkatan prestasi luar biasa.

“Skor peningkatan yang jauh lebih baik dari prestasi pelajar kawasan bandar. Jelas data ini membuktikan bahawa dalam persekitaran pandemik, bencana ini seolah-olah langsung tidak mempengaruhi prestasi calon luar bandar, malah sebaliknya pula meningkatkan lagi prestasi mereka berbanding 2019.

“Data ini sangat bertentangan dengan banyak kajian pendidikan termasuk oleh OECD dan UNICEF yang mengesahkan bencana pandemik menyebabkan pembelajaran pelajar berada dalam keadaan sukar, motivasi belajar menurun dan prestasi akademik merosot. Malaysia menunjukkan sebaliknya,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, prestasi Sains, Matematik, Pendidikan Islam dan Sejarah didapati lebih baik berbanding SPM 2019.

Jelas beliau, ia bermaksud dalam keadaan kekalutan pandemik, sesi sekolah ditutup begitu lama, guru-guru masih tidak begitu bersedia dalam PdPR 1.0 dan PdPR 2.0, keputusan empat mata pelajaran teras yang dianggap sukar boleh juga meningkat.

“Apakah rahsia sistem pendidikan pendidikan Malaysia? Apakah ini mengesahkan PdPR 1.0 dan 2.0 telah berjaya?

“Tentu ramai pakar dan pemimpin pendidikan negara lain ingin ketahui tentang cara Malaysia laksanakan PdPR. Tentu ini akan menjadi ‘success story’ yang besar dalam dunia pendidikan global,” katanya lagi.

Hari ini, KPM mengumumkan seramai 9,411 daripada 401,105 calon SPM 2020 memperoleh A dalam semua mata pelajaran, meningkat sedikit berbanding 8,876 calon pada 2019. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here