Kesan lockdown dijangka dapat dinilai minggu depan

0
2
Suasana di sekitar bandaraya Kuala Lumpur terakhir sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) "Total Lockdown" ketika tinjauan Malaysiapost malam ini.

Nilam Oshman

KESAN sekatan pergerakan penuh atau lockdown dijangka dapat dinilai minggu depan, namun bukan sepenuhnya, kata Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

Beliau berkata, walaupun kes menunjukkan penurunan ketika ini, ia adalah refleksi jangkitan yang berlaku dalam tempoh satu atau dua minggu lalu.

“Katakan kes jangkitan dilaporkan hari ini tapi kemungkinan individu berkenaan dijangkiti pada dua minggu lalu cuma baru hari ini dia disahkan positif.

“Selain itu, ada juga situasi di mana individu dijangkiti itu mengambil masa lima hingga enam hari untuk membuat ujian saringan Covid-19 justeru keputusan itu akan mengambil tempoh dalam dua minggu atau lebih. Itu prinsipnya,” katanya kepada Malaysiapost.

Walaubagaimanapun, beliau berkata, langkah lockdown perlu diperketatkan lagi untuk melandaikan semula lekuk jangkitan Covid-19.

Katanya, PKP yang dilaksanakan sekarang akan menjadi satu pembaziran jika dilonggarkan atau ditamatkan mengikut tempoh maka kemungkinan besar kes kembali meningkat.

“Contoh ada orang dapat jangkitan Covid-19 hari ini, lepas itu kita hentikan penularan itu melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tak nak bagi sesiapa pun bergerak dalam 14 hari itu, orang ramai tidak dibenarkan keluar langsung dari rumah, jadi risiko dijangkiti itu berkurang.

“Jika dilonggarkan PKP semula, orang keluar untuk bekerja, ke kedai dan sebagainya, kemungkinan masih ada lagi orang yang dijangkiti jadi jangkitan itu berterusan apabila individu terbabit masuk ke dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata, kesan PKP dapat dilihat sekiranya semua orang patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) dan duduk di rumah lantas jangkitan Covid-19 itu akan terputus.

“Namun, keadaan sekarang tidak seperti itu, menyebabkan kes baharu jangkitan ini sentiasa ada setiap hari.

“Walaupun kita nampak ada penurunan kes, itu adalah kes yang awal sebelum PKP lagi. Sekiranya mahu melihat penurunan ketara, PKP perlu dilaksanakan lebih ketat.

“Jangan ada pergerakan keluar rumah langsung, ataupun dipanjangkan tempoh masa PKP tapi kesan penurunan kes perlahan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here