BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengecam tindakan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang didakwa ingin mengambil ‘kredit’ daripada penurunan kes harian Covid-19.
Menurutnya, tindakan Wan Saiful yang memuji keputusan kerajaan melaksanakan ‘lockdown’ adalah tepat dan mula menunjukkan hasil, adalah bertentangan dengan kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
“Perangai ketua penerangan PPBM (Bersatu) ni champion (hebat).
“Dia bukan sahaja nak ambil kredit Lockdown ketat tapi dia seolah-olah kata tindakan membuat lockdown sebenarnya sudah dalam perancangan kerajaan setelah penggunaan kapasiti (ICU) Unit Rawatan Rapi telah melebihi 100 peratus, keadaan dah kritikal dan kematian Covid pecah rekod hampir tiap-tiap hari,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.
Najib juga memuat naik tangkap layar kenyataan Wan Saiful yang memaklumkan data kes harian terkini menunjukkan hasil, sekaligus menafikan tuduhan seolah-olah kerajaan tidak mempunyai rancangan yang terperinci.
Wan Saiful juga menyatakan lebih baik tidak mengendahkan ‘kluster merungut’ kerana mereka hanya mahu mencari perhatian.
Kenyataan tersebut dipercayai berhubung kait dengan beberapa desakan daripada pemimpin Umno yang meminta kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh berikutan kes harian dan jumlah kematian akibat Covid-19 semakin membimbangkan.
Ia susulan laporan bahawa kapasiti katil ICU untuk merawat Covid-19 di Lembah Klang hampir mencapai 100 peratus.
Pada masa sama, Najib menyelar pujian Wan Saiful kepada kerajaan yang dikatakan mempunyai perancangan tepat untuk mengekang Covid-19
“Lalu bila kes baharu reda sedikit, Ketua Penerangan PPBM ambil kredit untuk puji melambung PN (Perikatan Nasional) bahawa perancangan terperinci kerajaan untuk buat total lockdown adalah tepat,” ujarnya. – Malaysiapost
Semalam, Wan Saiful mendakwa langkah kerajaan melaksanakan ‘lockdown’ dan penguatkuasaan yang lebih ketat adalah keputusan tepat yang sekali gus dapat melandaikan lekuk jangkitan Covid-19.
Malah, beliau juga bersyukur apabila kadar kebolehjangkitan atau Ro/Rt Covid-19 semalam turun ke 0.99 dan jangkitan baharu juga turun kepada kepada 5,271 kes. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/06/07/kes-covid-19-turun-bukti-kerajaan-buat-keputusan-tepat/

