
POLIS hanya menerima pakai surat pengesahan daripada kementerian dan agensi berkaitan sebagai bukti yang membolehkan pekerja bergerak dari kediaman ke tempat kerja sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata dokumen tersebut perlu ditunjukkan kepada polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) yang berkuatkuasa mulai Selasa ini.
PDRM akan mengeluarkan permit pergerakan bagi mereka yang layak di bawah peraturan rentas sempadan iaitu ziarah kematian, kecemasan dan bekerja sendiri.
Menurut Acryl Sani, dokumen berkenaan hendaklah bertarikh 1 Jun, kegagalan memiliki dokumen sah atau telah tamat tempoh sebelum tarikh tersebut akan diarahkan berpatah balik ketika melalui pemeriksaan SJR. – Malaysiapost
Berikut adalah senarai kementerian dibenarkan beroperasi sepanjang PKP penuh ini.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan.
Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi sektor pengangkutan awam dan barangan keperluan.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi sektor pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi. MAFI hanya akan mengeluarkan surat pengesahan pekebun kecil. Bagi yang mempunyai lesen di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) surat pengesahan akan dikeluarkan oleh MITI melalui Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0).
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) bagi sektor perladangan dan pengeluaran hasil komoditi seperti kelapa sawit, getah dan sebagainya. Bagi pemegang permit dan lesen Lembaga Getah Malaysia seperti pekebun kecil, estet, nurseri, peniaga getah, pedagang dan pengilang getah boleh menggunakan surat pengesahan yang dikeluarkan oleh MPIC atau LGM. Bagi kilang pembuatan produk getah seperti sarung tangan surat pengesahan akan dikeluarkan oleh MITI atau CIMS 3.0.
Bank Negara Malaysia bagi sektor institusi kewangan dan insurans.
Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang berkaitan sektor urusniaga saham.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi sektor peniaga kecil, penjaja, gerai makanan, food truck, pengeluaran lesen berniaga bagi pengurusan strata, sisa pepejal dan sanitasi surat pengesahan akan dikeluarkan oleh MITI (CIMS 3.0) .
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi perkhidmatan telekomunikasi, media, pos, kurier dan penyiaran.
Kementerian Dalam Negeri (KDN). Semua surat dikeluarkan oleh agensi berada di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan sebagainya diterima pakai bagi kebenaran pergerakan.- Malaysiapost
