AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii mencadangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggantung kerajaan dan melantik Perdana Menteri Interim.
Belaiu berkata, keadaan negara kini menjadi tidak terkawal apabila langkah berjaga-berjaga yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini ternyata sudah tidak berjaya.
Malah, katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditabalkan sebagai ketua kerajaan gagal menjalankan amanah dan memacu ekonomi negara ke satu tahap yang lebih baik di samping membendung pandemik Covid-19.
“Jadi, Patik ingin mencadangkan agar KeBawah Duli Tuanku menggantung kerajaan hari ini dan melantik seorang Perdana Menteri Interim yang lebih tegas, berpengetahuan luas, mempunyai rangkaian hubungan baik dengan pelabur luar negara dan paling utama adalah mengutamakan nyawa rakyat tanpa memikirkan kepentingan politik dan parti sendiri.
“Keputusan ini amat penting bukan kepada patik seorang sahaja namun ianya meliputi semua peringkat rakyat.
“Kebimbangan patik adalah jangan sehingga nasi menjadi bubur kerana kesilapan kita hari ini tiada upaya lagi untuk mengubahnya di kemudian hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Mohd Razlan berkata, beliau menzahirkan kebimbangan rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong terhadap situasi yang dihadapi negara sekarang termasuk penularan Covid-19 tidak terkawal.
“Angka jangkitan baharu dan kematian saban hari tidak menentu sekali gus menyebabkan rakyat merasa semakin gusar dan dalam masa yang sama tiada tanda-tanda menampakkan kes akan berkurangan.
“Saban hari rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negara. Rakyat diarahkan untuk mematuhi pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi memastikan graf jangkitan Covid-19 menurun.
“Namun sebenarnya kepelbagaian arahan, kenyataan dan perutusan yang berbeza-beza dari kepimpinan negara telah menyebabkan rakyat semakin keliru dan menganggap segala hal yang berlaku hanyalah bersifat politik semata-mata,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan ekonomi dan rakyat yang dilihat makin teruk turut menjadi kebimbang kepada semua.
“Patik yakin KeBawah Duli Tuanku sedia maklum mengenai kekurangan kemasukan pelabur-pelabur asing ke dalam negara kebelakangan ini, perkara ini amat membimbangkan syarikat-syarikat besar mahupun kecil di sini.
“Malah, perkara ini diakui sendiri oleh pihak pelabur asing kerana tiada jaminan kestabilan ekonomi dek disebabkan kepelbagaian tempoh PKP itu sendiri,” katanya.
Mohd Razlan berkata, selain itu beliau menzahirkan kebimbangan berkaitan dengan amalan demokrasi.
“Patik sebagai rakyat jelata telah hilang kepercayaan dengan kepimpinan Perdana Menteri hari ini. Beliau telah terbukti gagal sebagai Ketua Pentadbiran Negara untuk memastikan wabak ini dapat diselesaikan seperti yang dipersembahkan kepada KeBawah Duli Tuanku bagi memohon pengisytiharan Darurat Proklamasi sebelum ini.
“Sumpah janji yang akan dicurah dan dihasratkan oleh Perdana Menteri untuk menjaga kebajikan dan nyawa setiap rakyat jelata Tuanku telah menemui jalan buntu.
“Lebih menyedihkan kini nyawa rakyat diperjudikan demi kelangsungan kuasa politik semata,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta darurat ditamatkan segera kerana ianya tidak lagi berperanan untuk menangkis pandemik Covid-19.
“Apa yang dilihat dan difahami rakyat adalah darurat ini bertujuan untuk mengukuhkan kuasa Perdana Menteri sahaja,” ujarnya. – Malaysiapost

