PERANAN Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang terlalu menonjol pada ‘total lockdown’ Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, telah menjadi buah mulut rakyat ketika ini.
Malah, perkara ini turut ditegur Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyindir tugas kementerian-kementerian lain dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membantu negara memerangi pandemik Covid-19.
“Apa kerja menteri lain? Betul juga, kenapa MITI jadi pemutus untuk lulus syarikat yang boleh beroperasi masa lockdown?
“Menteri lain buat kerja apa? Pak Wan buat kerja Menteri apa? Rina Harun ada kerja ke tidak? Dr Latif tidak boleh bantu ke orang di pedalaman daftar vaksin di MySejahtera? Menteri Agama buat apa?
“Yang bukan Menteri tetapi bertaraf Menteri buat apa? Timbalan Timbalan Menteri buat kerja apa?,” soalnya.
Selain itu, Mohd Puad berkata, ada juga segelintir menteri Kabinet yang langsung tidak menonjol serta tidak disedari kewujudan mereka.
“Ada rakyat yang tidak kenal Timbalan Menteri. Timbalan Menteri Kerja Raya hanya dikenali bila dia tertidur dalam satu majlis di universiti. Baru rakyat tahu dia MP dari kawasan mana.
“Kebanyakan rakyat kenal Menteri Perladangan dan Komiditi. Itu pun kerana ada sebab musabab,” katanya.
Mohd Puad juga menambah, tindakan tidak memberi gaji tiga bulan kepada Menteri dan Timbalan Menteri selama tiga bulan adalah wajar.
“Kan bagus masing masing guna kemudahan kementerian mereka untuk bantu daftar vaksin orang ramai. Memang patut pun mereka tidak terima gaji tiga bulan,” katanya.
Total Lockdown bermula pada 1 Jun menjadi kelam kabut susulan beberapa arahan yang tidak konsisten kerajaan berkaitan surat kebenaran operasi bekerja sektor ekonomi dan perkilangan.
Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri menjelaskan surat kebenaran operasi bekerja perlu diminta kelulusan dengan kementerian yang berkaitan.
Namun, menjelang malam sebelum pelaksanaan total lockdown, MITI dalam satu kenyataan mengumumkan hanya surat kebenaran yang telah mendapat kelulusan kementerin itu sahaja yang sah untuk diguna pakai sepanjang 14 hari tempoh lockdown ini. – Malaysiapost

