Warga ATM akan terima vaksinasi secara pandu lalu

0
1
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media ketika melawat Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan Wangsa Maju hari ini. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

KEM Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur dipilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu untuk warga tentera dan keluarga mereka menerusi projek rintis yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata selepas selesai pemberian vaksin kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka, maka barulah ia dibuka kepada orang awam dengan tempat pemberian vaksin akan diumumkan kemudian.

“Konsep ini akan lebih mudah, selamat dan akan mencepatkan lagi proses pemberian vaksin dan akan dapat mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat dengan lebih berkesan,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri pelancaran pembinaan Hospital Modular Covid-19 ATM di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan hari ini.

Mengenai Hospital Modular Covid-19 ATM, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) berkata, hospital itu yang akan dibina berkonsepkan ‘pre-fabricated modules’ dijadualkan siap dalam tempoh tiga bulan, memuatkan 64 katil termasuk 16 untuk unit rawatan rapi (ICU).

Sementara itu, mengulas isu 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional baru-baru ini, Ismail Sabri berkata, berkata isu itu telah diselesaikan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Selasa lalu, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, penerbangan 16 pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara di Sarawak pada 11.53 pagi.

Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, pesawat itu dikenal pasti adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 yang merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here