“Adakah bantuan PEMERKASA+ cukup untuk semua golongan?” – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan adakah nilai bantuan RM500 bagi keluarga B40 yang akan dibayar bermula akhir bulan ini cukup bagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, bantuan RM100 untuk golongan bujang juga adakah cukup untuk tempoh sebulan.

Lebih-lebih lagi, katanya, bantuan itu adalah setelah mereka menghadapi PKP 2.0, PKP 3.0/3.1 selama sebulan dan kini perlu menghadapi lockdown sebulan setengah lagi.

“Bagaimana pula dengan tambahan bayaran RM500 kepada penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang hanya dibayar pada Julai?

“Seperti saya ulas hari itu, langkah kerajaan untuk tolak bayaran BPR (Bantuan Prihatin Rakyat) bagi penerima GKP tidak wajar dan tidak patut,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Najib berkata, individu yang layak untuk menerima GKP juga perlu menanggung kerugian perniagaan kerana masih perlu membayar sewa atau barang mentah yang terpaksa dibuang akibat larangan beroperasi.

“Kerugian ini tidak perlu ditanggung oleh penerima BPR yang tak layak GKP.

“Sebab itu, ia tak wajar untuk memutuskan bahawa penerima GKP tidak layak untuk menerima BPR.” katanya lagi.

Beliau berkata, mengikut data kerajaan, jumlah perbelanjaan kerajaan untuk memberi bantuan BPR tersebut cuma RM2.1 bilion sedangkan kerajaan sudah meminjam lebih RM100 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Tambahnya, jika kerajaan tidak mahu agihkan lebih banyak peruntukan dari RM100 bilion kepada penerima BPR, maka kerajaan boleh mengambil lagi daripada tabung KWAN.

Malah, Najib menjelaskan tabung KWAN dibina dan dinaikkan dari RM4 bilion ke RM17 bilion pada akhir tahun 2017 semasa beliau masih Perdana Menteri.

“Perlu ingat sebelum ada Covid pun dan ekonomi mantap, kerajaan BN (Barisan Nasional) dahulu mampu bayar BR1M RM1,200 ke RM2,000 (seperti janji manifesto) bagi isi rumah golongan B40 dan M40 serta RM450 ke RM600 bagi orang bujang.

“Maka silalah korek KWAN lagi sebab golongan B40 dan M40 masa pandemik dan total lockdown ini lebih memerlukan bantuan sekarang.

“BN akan bina semula tabung KWAN ini pada masa depan,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here