TUJUH ‘orang kuat’ atau pengarah jabatan di Bukit Aman antara 61 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bakal bertukar, berkuat kuasa 1 Julai ini.
Superintendan Komunikasi Korporat Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Superintendan Skandaguru Anandan berkata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya mendahului senarai dengan ditukarkan kepada Pengarah Cawangan Khas.
“Jawatan beliau digantikan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam (KDNKA), Datuk Azri Ahmad.
“Pengarah Jabatan Pengurusan Datuk Ramli Din pula bertukar sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, penyandang jawatan JPJKK Datuk Zainal Abidin Kasim pula bertukar kepada Pengarah KDNKA.
“Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din pula ditukarkan kepada Pengarah JSJK.
“Komisioner Polis (CP) Pentadbiran Jabatan Pengurusan Datuk Zaini Jass bertukar sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan,” katanya.
Menurut Skandaguru, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan pula dilantik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Huzir Mohamad yang bersara wajib pada awal Mei lalu.
“Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Azisman Alias dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Polis dengan menyandang jawatan sama,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Malay Mail

