Dion Cools sah pemain Ke-26 Harimau Malaya

0
2

PEMAIN berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools telah berada di Dubai hari ini dan secara rasmi sah diumum sebagai pemain ke-26 skuad Harimau Malaya.

Ia selepas segala proses dokumentasi terutama berhubung status kelayakan dan pendaftarannya diselesaikan.

Perkembangan itu dikongsi di laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pagi ini.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, kehadiran pemain kelab Superliga Denmark, FC Midtjylland itu akan dapat memberi nilai tambah serta memperkasakan lagi pasukan Harimau Malaya.

“Harapan saya kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya penyokong setia Harimau Malaya, doakan pasukan kita ini untuk beroleh kejayaan. Amin,” katanya.

Sebelum ini spekulasi bertiup kencang selepas kelab FC Midtjylland mengeluarkan kenyataan pemain dilahirkan di Kuching itu mendapat panggilan skuad kebangsaan bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Aksi Cools ketika debut dalam Liga Juara-Juara bersama Midtjylland menentang Ajax

Kenyataan itu kemudian tersebar di media sosial dengan ada yang mendakwa pemain pertahanan kanan tersebut akan membantu menguatkan benteng skuad Tan Cheng Hoe yang dilihat agak rapuh ketika ini.

Begitupun, Midtjylland kemudian memadam kenyataan tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan apakah perkara itu benar atau berlaku kesilapan teknikal.

Harimau Malaya akan bertemu tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Zabeel, Dubai pada 4 Jun diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum (12 Jun) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum (16 Jun).

Selepas lima perlawanan setakat ini, Vietnam menduduki tangga teratas Kumpulan G dengan 11 mata diikuti Malaysia (9), Thailand (8), UAE (6) dan Indonesia (0). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here