SERAMAI 17 individu dikompaun RM5,000 setiap seorang semalam kerana leka bermain snuker ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mereka dikenakan kompaun mengikut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2021).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata mereka didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) susulan pemeriksaan ke atas sebuah premis snuker di Damansara Jaya, jam 4 petang semalam.

Hasil pemeriksaan, katanya, dua lelaki warga asing berumur 25 dan 27 tahun yang juga penjaga premis ditahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana cuai yang mungkin boleh merebak jangkitan penyakit berjangkit yang boleh membahayakan nyawa.
Beliau berkata, kedua-duanya juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

“Seramai 17 individu lain yang sedang bermain snuker dalam premis tersebut telah dikompaun sebanyak RM5,000 seorang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohamad Fakhrudin seterusnya mengingatkan semua lapisan masyarakat di Petaling Jaya supaya sentiasa peka dan mematuhi SOP yang telah dikeluarkan agar dapat memutuskan rantaian Covid-19.
Dalam operasi itu, pihaknya turut merampas dua keping kad pekerja, satu resit perniagaan serta pelbagai peralatan snuker. – Malaysiapost

