POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung paparan di Instagram peribadi milik ibu Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed yang didakwa mempertikaian saranan Sultan Johor supaya perintah kawalan sepenuhnya dilaksanakan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Katanya, siasatan awal mendapati seorang wanita berusia 32 tahun mengaku tersilap menggunakan instagram milik pengadu dengan membuat hantaran di Instastory Instragram.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat atau berita di media sosial hingga menjejaskan reputasi dan hak asasi mana-mana orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini tular tangkap layar menunjukkan imej dan titah Sultan Ibrahim berkaitan cadangan sekatan penuh bersasar bagi mengurangkan jangkitan Covid-19
Bagaimanapun, disertakan sekali dalam imej itu, kata-kata dipercayai mempertikai niat dan saranan Sultan Johor tersebut, yang dibuat akaun Instagram Noor Kartini.
Tangkap layar tersebut mendapat perhatian Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Menerusi hantaran Insta Story yang dimuat naik Tunku Idris, ramai yang mendakwa ianya berkaitan dengan tangkap layar yang tular tersebut.
“Sesungguhnya adab itu tidak akan boleh didapati dengan jual beli, akan tetapi ia adalah suatu yang terbit di dalam hati setiap insan yang dididik dengan baik,” tulis baginda.
Noor Kartini membuat laporan polis berhubung perkara itu dan mendakwa ia berlaku disebabkan kecuaian seorang pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd yang secara tidak sengaja telah memuat naik Instagram Story menggunakan akaunnya.-Malaysiapost
Artikel berkaitan :

