Pemberian vaksin secara terus, daftar manual di Kelantan

0
1
Petugas menyuntik vaksin AstraZaneca kepada seorang penerima vaksin di PWTC.

KERAJAAN Negeri Kelantan mengambil pendekatan untuk menggerakkan pemberian vaksin ke kampung-kampung bagi memudahkan lagi kempen vaksinasi besar-besaran yang bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata usaha tersebut dibuat bagi mengelakkan ada golongan yang tercicir untuk mendapat suntikan vaksin.

“Jadi, kempen vaksinasi besar-besaran diadakan bermula hari ini dan kita menjangkakan beberapa hari lagi (Jun) bekalan vaksin dalam jumlah banyak akan tiba di Kelantan, termasuk memenuhi permintaan penerima vaksin yang sudah mendaftar pada Februari dan Mac lalu.

“Selain itu, kita juga akan gerakkan (bawa) vaksin turun padang ke kampung-kampung, isi pendaftaran manual dan (penerima boleh) terus dapatkan vaksin di lokaliti terpilih.

“Ia bagi memberi peluang warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan sebagainya untuk turut sama tidak ketinggalan dapatkan suntikan ini,” katanya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ketereh, hari ini.

Dr Izani berkata, lokaliti pertama pemberian vaksin secara terus itu dijangka di Kampung Badang, di Kota Bharu memandangkan penularan kes Covid-19 di situ antara yang tertinggi di Kelantan.

Beliau memberitahu hanya 5.2 peratus rakyat Kelantan sudah mengambil dos pertama dan kedua berikutan bekalan vaksin di peringkat awal.

“Kita juga merekodkan 12,000 pendaftar vaksin gagal hadir janji temu membabitkan warga emas khususnya di Kota Bharu,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap masyarakat mendapatkan maklumat tepat dan mengambil langkah sewajarnya demi kepentingan semua.

Tambah Dr Izani, pihaknya menyasarkan pemberian vaksin lebih cepat terutama di PPV daerah ini untuk membolehkan tahap imuniti negeri dicapai sekurang-kurangnya 80 peratus.

Ketika ini katanya, PPV sedia ada mampu memberi suntikan kepada 400 hingga 500 penerima setiap hari.

Pada masa sama, beliau memaklumkan sehingga kini 18 peratus kanak-kanak berusia bawah 12 tahun di negeri itu dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, peratusan itu dianggap tinggi bersamaan dengan kadar kebolehjangkitan (Rt) negeri yang meningkat dan rekod harian kes positif juga mencecah tiga angka setiap hari.

Katanya, kanak-kanak boleh dijangkiti dengan dua cara iaitu melalui ibu bapa atau golongan dewasa, dan jika mereka dibawa keluar ke kawasan penularan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here