PENGERUSI Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni direman dua hari berhubung kenyataan yang didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar, berkata ahli PKR itu diberkas di rumahnya di Kajang dan direman bermula hari ini.
“Suspek berusia 45 tahun ditahan di rumahnya di Kajang pada 11 malam susulan laporan polis yang diterima. Setakat ini, pihak polis menerima sebanyak 18 laporan berkaitan video tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam, Iswardy memuat naik video secara ‘live’ berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini di Youtube rasmi miliknya.
Dalam video itu, Iswardy turut mengeluarkan kenyataan mendakwa Sultan Abdullah seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19 selain mempersoalkan sama ada Yang di-Pertuan Agong ada menerima video dibuat individu lain mendakwa Iswardy ada menghina Sultan Abdullah.
Selain itu, dalam video itu, Iswardy turut membandingkan Sultan Abdullah dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di negeri Johor. – Malaysiapost

