Nurul Huda Abhar
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan orang ramai jangan terlalu memilih jenis suntikan vaksin kerana yang utama adalah rakyat menerima vaksin Covid-19 secepat mungkin.
Beliau berpendapat bahawa apa-apa jenama vaksin Covid-19 adalah selamat, dan boleh membantu memutuskan rantaian virus tersebut.
“Saya berpendapat jenis vaksin tidak mengapa kerana di negara China lebih 300 juta mereka disuntik dengan vaksin China. Mereka tidak hadapi masalah seperti yang kita hadapi di Malaysia.
“Jadi kita jangan kira vaksin apa, sama ada Pfizer, AztraZeneca atau vaksin China (Sinovac), kita kena dapatkan suntikan vaksin secepat mungkin,” katanya dalam video berkenaan situasi semasa Covid-19 yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Dr Mahathir berkata, situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia semakin membimbangkan berdasarkan rekod kes harian kini melebihi 8,000 sehari.
Katanya, Malaysia sedang menjalankan program suntikan vaksinasi namun sambutan daripada rakyat tidak begitu menggalakkan sehingga terdapat laporan 10,000 tidak hadir apabila dipanggil untuk pemberian vaksin.
Jelas Dr Mahathir, cara pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 tidak begitu tersusun dan ada beberapa aduan mengenai kelemahan sistem tersebut.
“Ada juga yang terpaksa daftar dua kali tetapi masih tidak ada apa. Daftar untuk vaksin Pfizer tak jadi, dengan AstraZeneca pun tak dapat.
“Tempahan online bukan semua orang boleh buat. Mereka yang ada telefon dan cekap, mereka boleh daftar online. Tetapi untuk orang tua, orang yang tidak begitu terpelajar mereka tidak boleh daftar online. Sebab itu mereka ketinggalan,” ujarnya.
Ahli Parlimen Langkawi itu juga memberikan contoh pendekatan yang digunakan England di mana apabila ramai yang tidak hadir mendapatkan suntikan vaksin, mereka menghantar bas berserta kakitangan kesihatan untuk memberi suntikan di kawasan pendalaman.
“Saya bukanlah Perdana Menteri, tapi saya rasa bertanggungjawab untuk memberi peringatan kepada semua pihak bahawa apa yang berlaku ini amat serius,” katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada barisan hadapan dan petugas terlibat dalam pemberian vaksin, dan memohon agar urusan tersebut dapat dipercepatkan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada frontliners dan minta tolong cepatkan pemberian vaksin ini. Janganlah terlalu terlibat dengan biokrasi, seperti urusan daftar sana daftar sini.
“Saya harap mereka dapat pastikan semua golongan dapat disuntik. Sekarang kita hanya dua peratus, kita kena 80 peratus disuntik barulah selamat,” ujarnya. – Malaysiapost

