PERKHIDMATAN tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya hanya dibuka satu landasan bagi Stesen KLCC ke Kampung Baru.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata hasil pemeriksaan mendapati Laluan Kecemasan di sebelah kanan di lim rel 1447 tidak stabil akibat kesan pelanggaran iaitu patah di bahagian tapak dan ianya perlu diambil tindakan pembaikan segera.
“Disamping itu, tiga Rail clip tidak dipasang pada bahagian rel (1 piece pada lim rel 1445, 2 piece pada lim rel 1444). Rapid Rail telah memasang rail clip tersebut serta-merta.
“Justeru, pada jam 12.19 tengah malam tadi, Pasukan Pemeriksaan Fizikal yang terdiri daripada pegawai-pegawai Bahagian Penguatkuasaan Rel
dan Bahagian Perancangan Rel Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah memulakan kerja-kerja mereka dengan jumlah anggota seramai lapan orang di lapangan serta dua orang di Pusat Kawalan RRSB.
“Pasukan Pemeriksaan APAD juga mengarahkan Rapid Rail menggantikan “linear heat detector sensor cable” yang rosak bermula di segmen terowong 126 sehingga segmen terowong 96 sepanjang lebih kurang 28.5m untuk memastikan sistem pengesanan kebakaran di dalam terowong berfungsi dengan baik dari Stesen KLCC sehingga Stesen Kg Baru,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, pihak Rapid Rail memaklumkan bahawa kerja-kerja penggantian akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
“Ini adalah komponen keselamatan kritikal operasi utama bagi perkhidmatan LRT,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pengujian ‘rollover train’ turut dilakukan, pada jam 3.08 pagi.
“Pemerhatian rollover mendapati simulasi pergerakan tren berada di dalam keadaan baik.
“Justeru, sebagai rumusan, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya itu masih lagi mengikut pelan alternatif seperti yang dihuraikan semalam kerana bagi seksyen yang terlibat dalam pelanggaran tren, hanya satu landasan digunakan.
“Pasukan pemeriksaan telah menyempurnakan misi pada jam 4.30 pagi tadi sebelum perkhidmatan LRT bermula jam 6 pagi hari ini,” katanya.
Beliau berkata, pihak APAD akan memeriksa semula sebaik sahaja pihak Rapid Rail menyempurnakan kerja pembaikan dan pemasangan yang disyaratkan.
“APAD akan memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum kelulusan pemulihan operasi diberi kepada Rapid Rail,” katanya. -Malaysiapost

