Jawatankuasa setuju kriteria tentukan tempoh darurat

0
1

JAWATANKUASA Khas Bebas Darurat 2021 mengumumkan persetujuan secara konsensus dengan penetapan beberapa kriteria dan nilai ambang bagi menilai sama ada proklamasi darurat akan diteruskan atau ditamatkan.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu tidak menjelaskan secara terperinci mengenainya.

“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dalam siri mesyuaratnya telah menerima pelbagai pembentangan berhubung situasi semasa pandemik Covid-19 daripada kalangan individu, pakar-pakar kesihatan serta bidang berkaitan.

“Pada peringkat ini, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 secara konsensus bersetuju dengan penetapan beberapa kriteria dan threshold (nilai ambang) dalam membuat penilaian berhubung kewujudan berterusan darurat atau penamatannya,” menurut kenyataan itu seperti dilaporkan MalaysiaKini.

Kenyataan itu hadir pada hari yang sama dengan kenyataan dari Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini yang menggesa supaya jawatankuasa itu bersuara mengenai penggunaan kuasa darurat yang mengetepikan parlimen.

Dalam kenyataan tersebut, Majlis Presiden PH berkata wakil mereka dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 berpendapat darurat yang berkuat kuasa ketika ini untuk menangani Covid-19 tidak diperlukan.

Justeru Majlis Presiden PH menggesa agar jawatankuasa itu mengetengahkan pandangan berkenaan agar parlimen, yang digantung sejak darurat diisytiharkan, boleh bersidang semula.

“Sekiranya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat masih mendiamkan diri, PH terpaksa mempersoalkan peranan dan fungsi wakil kami di dalam jawatankuasa tersebut.

“Atau apakah kehadiran wakil kami dijadikan sebagai ‘pelitup muka’ untuk mengiyakan segala penggunaan kuasa darurat yang mengetepikan parlimen,” kata kenyataan yang ditandatangani Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR, Mohamad Sabu dari Amanah dan Lim Guan Eng dari DAP.

Sementara itu, jawatankuasa berkenaan berkata pihaknya telah bermesyuarat sebanyak enam kali sejak ditubuhkan pada 9 Februari yang kesemuanya dipengerusikan bekas Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria.

Terdapat 19 anggota dalam jawatankuasa itu yang terdiri dari pelbagai parti dan dilantik dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah

Antaranya Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar, Ahli parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi, Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Rohani Abdul Karim, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dzulkefly Ahmad. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here