2.8 juta rakyat hilang pekerjaan jika buat ‘total lockdown’ – Azmin

0
1

Nurul Huda Abhar

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan seramai 2.8 juta orang akan hilang pekerjaan jika perintah berkurung ‘total lockdown’ seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan semula.

Menurutnya, golongan terkesan terdiri daripada mereka yang bekerja sendiri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro dan peniaga kecil.

“Saya lihat di media sosial, ramai yang berkongsi kisah serta keluhan mereka yang tidak lagi mampu meneruskan kehidupan sekiranya total lockdown dilaksanakan.

“Bagaimana mungkin rakyat dapat meneruskan kehidupan mereka sekiranya mereka tidak mempunyai sumber pendapatan untuk menanggung keperluan sekeluarga?

“Bagaimana dengan rakyat yang cuma bergantung kepada pendapatan harian? Umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mohamed Azmin berkata, purata isi rumah di Malaysia adalah seramai empat orang dan jika 1 juta orang kehilangan pekerjaan bermakna 4 juta tanggungan akan terjejas.

Jelasnya, mengambil kira isu tersebut kerajaan sebulat suara bersetuju tidak melaksanakan perintah berkurung bagi mengimbangi kelangsungan ekonomi rakyat dan juga negara.

“Tempoh hari, saya juga ada menonton rangkuman di Buletin Utama TV3 yang mengatakan seramai 1.5 juta peniaga kecil gembira dengan keputusan kerajaan untuk tidak laksana total lockdown.

“Alhamdulillah, semoga dengan keputusan kerajaan yang telah dinilai secara menyeluruh ini, rakyat boleh meneruskan kegiatan ekonomi mereka dengan pematuhan SOP yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19,” ujarnya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here