Umat Islam digesa ambil vaksin – Hadi

0
1
Petugas menyuntik vaksin AstraZaneca kepada seorang penerima vaksin di PWTC.

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa semua pihak bekerjasama dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat terutamanya umat Islam berhubung kepentingan vaksin, bukannya berdebat mencari kesalahan.

Jelasnya, dalam tempoh darurat kesihatan, seluruh rakyat harus bersatu padu tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan politik kerana wabak ini tidak mengenal siapa mangsanya.

“Saya membaca berita yang dilaporkan di media perdana dan sebahagiannya di media sosial, bahkan saya juga membaca apa yang tersurat dan tersirat di sebalik laporan berita tersebut.

“Kini, bukan masanya untuk kita berdebat mencari kesalahan dan kelemahan kerana bentuk serangan wabak yang sedang dihadapi hari ini sudah berubah.

“Sepatutnya semua pihak berperanan menyedarkan masyarakat seperti perlunya suntikan vaksin kerana Islam meletakkan turutan menjaga nyawa adalah wajib diutamakan, sehingga dihalalkan perkara yang haram dalam ayat-ayat al-Quran,” katanya dalam tulisan Minda Presiden PAS, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, waktu sekarang bukan untuk kempen politik yang bertujuan memperkecilkan Perdana Menteri serta Menteri yang bekerja ketika darurat.

Katanya, pihak tertentu jangan mudah mengeluarkan kenyataan khususnya yang berkaitan dengan agama Islam tanpa mempunyai ilmu.

“Maka, jangan mudah berkata-kata tanpa mempunyai ilmu khususnya dalam perkara agama. Lebih-lebih lagi ketika keadaan darurat, kerana ia boleh merosakkan imej agama sendiri dan membawa kemudaratan ke dalam masyarakat umum.

“Para ulama khususnya para mufti perlu berijtihad secara berjamaah, jangan memberikan pendapat secara berseorangan kerana masanya tidak sesuai untuk menonjolkan diri masing-masing.

“Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk kempen politik bagi memperkecilkan perdana menteri mahupun para menteri yang menjalankan tugas ketika tempoh darurat,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, undang-undang darurat yang tegas dilaksanakan demi menjaga nyawa manusia.

Katanya, undang-undang tersebut dikenakan terhadap mereka yang tidak menghormati kepentingan masyarakat umum.

Semalam, kira-kira 10,000 individu yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kelantan tidak hadir untuk menerima suntikan berkenaan.

Manakala hari ini, media melaporkan seramai 10,827 daripada 30,100 individu antara 19 April hingga Sabtu lalu, yang diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kedah dikesan tidak hadir

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Fikri Ujang, berkata jumlah itu membabitkan individu yang sepatutnya disuntik di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan PPV Klinik Kesihatan seluruh negeri.

Katanya, antara punca dan mereka tidak hadir adalah mereka bertukar fikiran disebabkan belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here